Reset Bermula: Peletakan Jawatan Hamzah, Cetus Agenda Lebih Besar — Saifuddin

KUALA LUMPUR | 14 Apr 26 — Pengunduran Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang dilihat sebagai titik mula kepada proses “reset” dalam Perikatan Nasional (PN), dengan tumpuan kepada penyusunan semula kepimpinan dan hala tuju yang lebih besar.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah menegaskan, langkah tersebut bukan didorong tekanan, sebaliknya mencerminkan keputusan strategik bagi memberi ruang kepada Pengerusi PN yang baharu, Dr. Sam Suri, membentuk barisan kepimpinan yang lebih mantap.

Menurut beliau, tindakan Hamzah menunjukkan sikap kepimpinan yang tidak terikat kepada jawatan, malah membuka laluan kepada fasa baharu pembangkang yang lebih tersusun dan berfokus.

“Ini adalah permulaan kepada satu penyusunan semula yang lebih besar,” katanya dalam satu hantaran video.

Saifuddin turut menekankan bahawa Hamzah masih memainkan peranan penting melalui gagasan yang dibawanya, khususnya idea “konsensus baru nasional” yang disifatkan sebagai kerangka alternatif kepada pendekatan politik sedia ada.

Katanya, pendekatan tersebut tidak bersandar kepada retorik semata-mata, sebaliknya sedang digerakkan melalui usaha penyelidikan, memberi gambaran bahawa PN sedang beralih ke arah politik berasaskan dasar dan analisis.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan perjuangan Hamzah berteraskan prinsip nilai seperti amar makruf nahi mungkar, sekali gus memperkukuh dimensi moral dalam agenda politik yang dibawa.

Lebih signifikan, Saifuddin memberi bayangan bahawa beberapa langkah lebih besar akan diumumkan dari semasa ke semasa, mencetuskan jangkaan bahawa PN sedang merangka perubahan yang melangkaui sekadar rombakan kepimpinan.

Dengan pengunduran dari barisan hadapan, namun kekal sebagai figura berpengaruh di belakang tabir, Hamzah dilihat beralih kepada peranan strategik, ketika PN memasuki fasa reset yang berpotensi mengubah landskap pembangkang negara.

Semalam, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar memberitahu media bahawa surat pemakluman peletakan jawatan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat.

Hamzah dipecat dari BERSATU Februari lalu, pemecatan beliau membawa gelombang peletakan jawatan dan pembubaran lebih 60 bahagian BERSATU diseluruh negara. Pemecatan tersebut mencetuskan gerakan ‘Reset’ yang bertujuan untuk merombak semula peranan dan sikap politik yang dimanipulasi hingga melemahkan gerakan pembangkang dalam menggerakkan agenda membela nasib rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share