
KUALA LUMPUR, 20 MEI 25 – Seorang ahli Parlimen Bersatu membangkitkan persoalan jelajah parti itu ke beberapa negeri yang berlangsung minggu lalu didakwa tidak dimaklumkan kepada beberapa pimpinan tertinggi parti.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membangkitkan persoalan itu media sosial miliknya, sambil menyifatkan ianya perkara yang luar biasa.
Dakwanya, selain ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu tiada jemputan dibuat kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dan naib-naib presiden parti itu.
“Kenapa jelajah Bersatu turun ke negeri-negeri timbalan, naib presiden (2) tak dijemput? MPT pun tak dimaklumkan. Luar biasa…,” katanya.
Kenyataan itu turut menarik perhatian banyak pengguna media sosial di ruangan komen, dengan salah seorang pengguna dengan nama Raja Danial Fitri menulis terdapat jemputan yang dibuat kepada pimpinan berkenaan.
“Betul ke YB. Setahu saya Naib Presiden dijemput. YB Dr Radzi Jidin mewakili. MPT pun ramai yang hadir bagi yang berkehendak dan sudi .. kalau salah mohon betul kan saya,” katanya.
Komen berkenaan turut menarik perhatian pengguna lain, Que Iskandar Putrajaya yang menulis: “Raja Danial Fitri MPT ramai mana yg hadir? Si Jidin tu lalang tidak ada maruah kejap sana kejap sini. Memang Bangsat tak boleh buat kawan. Di Putrajaya ni pun 90% yang undi dia dah menyesal.”
Wan Ahmad Fayhsal turut membalas tulisan tersebut dan menulis: “Raja Danial Fitri saudara salah. Mereka dan kami memang tak dimaklum dan dijemput..”
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali minggu lalu berkata, penganjuran Program Kembara Bersatu itu dilihat sebagai manifestasi kesatuan tenaga dan pemikiran dalam kalangan pimpinan Bersatu negeri untuk terus melangkah ke hadapan membawa agenda perubahan yang lebih mantap.
Dalam satu program di Selangor baru-baru ini, Azmin berkata, ia menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 200 pemimpin kanan bahagian dan ketua-ketua sayap parti hadir menjayakan program berkenaan.
Melalui hantaran media sosialnya, Azmin berkata antara pimpinan tertinggi yang hadir termasuk Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin, dan Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Abd Aziz.
“Pimpinan yang mengambil bahagian dalam kembara diberikan suntikan dan bekalan yang cukup bernilai untuk menyemarakkan obor perjuangan Bersatu di seluruh pelusuk Negeri Selangor.
“Ayuh, kita melangkah berani demi pertiwi,” kata Azmin, di hantaran berkenaan. @politiko.my