Wan Fayhsal Selesai Keterangan Lembaga Rayuan Parti, Harap Nama Baik Dibersihkan

KUALA LUMPUR | 4 Feb 26 — Ahli Parlimen Machang, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan beliau telah selesai memberikan keterangan kepada Lembaga Rayuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus menyatakan harapan agar keadilan dapat ditegakkan dan nama baiknya dipulihkan.

Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian Bersatu secara rasmi pada 14 Oktober 2025 selepas Lembaga Disiplin parti mendapati beliau melanggar perlembagaan dan kod etika parti. Keputusan penggantungan itu diumumkan selepas sesi pendengaran pada 8 Oktober 2025, dan beliau diberi hak untuk membuat rayuan dalam tempoh 14 hari selepas notifikasi.

Dalam kenyataannya, Wan Ahmad Fayhsal berkata beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan perbicaraan tersebut kepada proses dalaman parti dan berharap hasil yang adil dapat dicapai.

“Alhamdulillah, saya telah selesai memberikan keterangan balas kepada Lembaga Rayuan bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan saya mengharapkan yang terbaik daripada perbicaraan ini agar nama baik saya dan keadilan dapat diberikan sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa proses tersebut akan berjalan secara telus dan berlandaskan prinsip keadilan, selaras dengan semangat perjuangan parti.

Dalam masa sama, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan komitmennya terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sambil menyifatkan gabungan itu sebagai tonggak penting kebangkitan rakyat.

“Saya berdoa agar Parti Bersatu dan Perikatan Nasional terus kekal menjadi tonggak kebangkitan rakyat, khususnya dalam mengharungi cabaran menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” ujarnya.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai isyarat bahawa Wan Ahmad Fayhsal kekal setia bersama kepimpinan dan perjuangan Bersatu, di sebalik proses rayuan yang sedang berlangsung, selain menepis spekulasi mengenai pendirian politiknya.

Perkembangan itu juga hadir ketika Bersatu dan PN berdepan tekanan dalaman serta luaran, menjadikan isu disiplin, integriti, dan perpaduan parti sebagai faktor penting menjelang persiapan menghadapi PRU16. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share