
KUALA LUMPUR | 1 Ogos 26 – Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) supaya meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Wawasan Negara, susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau mendakwa Bersatu kini semakin hilang arah tuju dan menyifatkan parti itu sebagai sebuah “kapal” yang sedang karam, sambil menegaskan Parti Wawasan Negara bersedia menjadi wadah baharu kepada mereka yang mahu meneruskan perjuangan politik.
“Realiti hari ini menyaksikan ‘kapal’ Bersatu semakin karam dan hilang arah tuju.
“Kepada rakan-rakan serta sahabat di dalam Bersatu, pintu kita sentiasa terbuka. Tiba masanya untuk anda membuat keputusan berani – marilah bergerak bersama Parti Wawasan Negara.
“Jangan biarkan perjuangan anda tenggelam bersama kapal yang sedang sarat dimasuki air. Masa depan politik tanah air memerlukan wadah baharu yang lebih stabil dan berwawasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Wan Saiful berkata, keputusan PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara kedua-dua gabungan.
“Kemenangan membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga ini bukanlah satu kebetulan. Ia adalah bukti nyata keberkesanan kerjasama strategik yang telah kita garap bersama antara BN dan PN,” katanya.
Menurut beliau, sebagai wakil PN dalam siri mesyuarat bersama BN sebelum pilihan raya, beliau menyaksikan sendiri penyelarasan jentera dilakukan secara berterusan bagi memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar di setiap DUN.
Beliau berkata, usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila BN dan PN berjaya memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.
Dalam kenyataan sama, Wan Saiful turut mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera BN dan PN atas kemenangan tersebut serta menyifatkan keputusan di Johor dan Negeri Sembilan sebagai isyarat bahawa kerjasama politik antara kedua-dua gabungan semakin diterima rakyat.
Beliau turut mengucapkan “good luck” kepada DAP menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka, sambil menyatakan gelombang kerjasama BN-PN akan diteruskan dalam menghadapi pilihan raya seterusnya.
Ketika berita ini ditulis, dua menteri PH bagi DUN Chennah dan DUN Linggi disahkan tewas. Laporan semasa menunjukkan, BN-PN telah berjaya membentuk majoriti dua pertiga di DUN Negeri Sembilan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.