Wawasan Lantik 160 Ketua Bahagian Penaja, Sasarkan 160,000 ahli di seluruh negara

KUALA LUMPUR | 29 Ogos 26 – Parti Wawasan Negara (Wawasan) memperkukuh struktur organisasinya di peringkat akar umbi dengan melantik 160 Ketua Bahagian Penaja dari seluruh negara, sebagai persediaan menghadapi perkembangan politik dan pilihan raya akan datang.

Naib Presiden Wawasan, YB Wan Saiful Wan Jan berkata, pelantikan itu mencerminkan perkembangan positif parti yang kini semakin kukuh dari segi struktur organisasi di peringkat bahagian.

Beliau berkata, setiap Ketua Bahagian Penaja yang dilantik diberikan tanggungjawab untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 1,000 ahli dalam tempoh ditetapkan.

“Setiap bahagian penaja kini menggalas amanah besar untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 1,000 ahli dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Berdasarkan sasaran itu, 160 bahagian penaja berkenaan perlu menarik sekurang-kurangnya 160,000 ahli sebagai sebahagian daripada usaha memperluas tapak sokongan Wawasan di seluruh negara.

Selain pengambilan ahli, Wan Saiful berkata setiap bahagian turut diarahkan menubuhkan cawangan berasaskan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen masing-masing.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan struktur organisasi parti bukan sekadar wujud di peringkat kepimpinan, sebaliknya mempunyai jentera akar umbi yang bersedia menghadapi pilihan raya.

Dalam masa sama, beliau berkata Wawasan akan mengekalkan pendekatan politik yang membawa imej ‘berwajah Malaysia’ dengan meraikan kepelbagaian demografi rakyat di setiap kawasan.

Katanya, barisan Ketua Bahagian Penaja yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk tokoh korporat, ahli akademik, bekas pegawai tinggi kerajaan dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah, katanya, kemunculan muka-muka baharu dalam kepimpinan penaja turut menjadi sebahagian daripada usaha parti menawarkan barisan kepimpinan yang lebih segar dalam arena politik.

“Parti Wawasan Negara terus komited membawa imej ‘berwajah Malaysia’ dengan meraikan kepelbagaian demografi rakyat setempat,” katanya.

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Bahagian (Penaja) itu disempurnakan Setiausaha Agung Wawasan, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Saiful berkata, pelantikan Ketua Wanita dan Pemuda Bahagian pula akan disempurnakan dalam masa terdekat bersama Presiden parti.

Perkembangan terbaharu itu menunjukkan Wawasan kini memberi tumpuan kepada pembinaan struktur organisasi, pengambilan ahli dan pembentukan jentera PDM, selepas melalui fasa awal penubuhan parti.

Jika sasaran 1,000 ahli bagi setiap bahagian berjaya dicapai, Wawasan bukan sahaja mempunyai struktur formal di 160 bahagian, malah berpotensi membina pangkalan keahlian yang besar menjelang pilihan raya umum akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share