Wawasan Negara Lengkapkan Kepimpinan, Lantik Ketua Wanita dan Pemuda

KUALA LUMPUR | 2 Sep 26 — Parti Wawasan Negara melengkapkan barisan kepimpinan sayap parti dengan melantik Puan Dayang Saniah Awang Hamid sebagai Ketua Pergerakan Wanita (Penaja) dan Saudara Muhammad Faiz Rahmad sebagai Ketua Pergerakan Pemuda (Penaja).

Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pelantikan itu melengkapkan struktur kepimpinan parti selepas Jawatankuasa Pusat, Penyelaras Negeri dan Ketua Bahagian (Penaja) dilantik sebelum ini.

Menurut beliau, kedua-dua tokoh berkenaan mempunyai pengalaman luas dalam organisasi serta gerak kerja politik di peringkat akar umbi, selain berkeupayaan membina jentera yang dekat dengan masyarakat.

“Dayang Saniah dan Muhammad Faiz mempunyai pengalaman luas dalam organisasi dan gerak kerja politik di peringkat akar umbi serta mempunyai keupayaan untuk membina jentera yang dekat dengan masyarakat,” katanya dalam kenyataan media.

Hamzah berkata gandingan kedua-duanya bersama barisan kepimpinan Wanita dan Pemuda diharap dapat membawa tenaga baharu, idea segar serta nilai tambah kepada Wawasan Negara, khususnya menjelang PRU-16.

Beliau turut menegaskan bahawa kedua-dua sayap parti itu akan dibangunkan secara inklusif, selaras dengan identiti Wawasan Negara sebagai sebuah parti yang terbuka kepada semua rakyat.

“Pada masa yang sama, kedua-dua sayap ini akan dibangunkan secara inklusif sesuai dengan identiti dan prinsip Wawasan Negara sebagai sebuah parti berwajah Malaysia yang terbuka kepada semua rakyat,” katanya.

Hamzah berkata usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan parti untuk bersama-sama membina masa depan negara melalui gagasan Konsensus Nasional Baharu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share