Wawasan Negara Sabah Desak Kerajaan Kaji Semula Kuota Budi Diesel

KOTA KINABALU | 17 Julai 26 – Kerajaan disaran mengkaji semula pelaksanaan BUDI Diesel selepas pelbagai aduan pengguna di Sabah mendakwa kuota ditetapkan tidak mengambil kira realiti kehidupan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Wakil Pemuda Wawasan Negara Sabah, Mohammad Hisyam Hazaril berkata, tempoh 14 hari sejak pelaksanaan dasar tersebut sudah memadai untuk kerajaan turun padang, mendengar keluhan rakyat serta menilai sama ada mekanisme sedia ada benar-benar mencapai matlamatnya.

Menurut beliau, antara isu utama yang dibangkitkan pengguna diesel di Sabah ialah jumlah kuota yang dianggap tidak mencukupi berikutan faktor jarak perjalanan yang jauh, keadaan geografi mencabar serta kebergantungan tinggi terhadap kenderaan diesel.

“Di Sabah, semakin ramai pengguna diesel meluahkan keluhan bahawa kuota yang ditetapkan tidak mencerminkan realiti kehidupan mereka.

“Jarak perjalanan yang jauh, keadaan geografi yang mencabar serta kebergantungan terhadap kenderaan diesel menyebabkan ramai terpaksa menanggung kos tambahan apabila kuota subsidi habis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, terdapat juga pengguna yang berdepan masalah kelayakan menerima subsidi BUDI Diesel disebabkan faktor tertentu termasuk status pemilikan kenderaan yang berdaftar.

Sehubungan itu, kerajaan disaran mengambil pendekatan lebih bersesuaian dengan keadaan Sabah, terutama melibatkan penduduk luar bandar dan pedalaman, golongan petani, nelayan, usahawan mikro serta mereka yang menggunakan diesel bagi aktiviti harian.

“Kerajaan perlu mengkaji semula mekanisme BUDI Diesel termasuk kadar kuota dan syarat kelayakan dengan mengambil kira keunikan Sabah,” katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Hisyam berkata, usaha kerajaan membanteras ketirisan subsidi tetap wajar disokong, namun pelaksanaannya perlu memastikan golongan yang benar-benar layak tidak terbeban.

“Matlamat membanteras ketirisan subsidi wajar disokong, namun tidak boleh dijadikan alasan sehingga rakyat yang benar-benar layak pula menanggung beban,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan terus meneliti semua langkah intervensi berkaitan kos sara hidup, termasuk isu kuota subsidi diesel, menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan dasar yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share