
KUALA LUMPUR | 13 Sep 26 – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pandangan yang disuarakan perwakilan dan jurucakap sayap parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi parti.
Beliau berkata, pendirian rasmi UMNO kekal berpandukan keputusan dan resolusi yang telah dibuat parti, termasuk untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.
“Pendirian kita tidak menyanggah mana-mana susuk tubuh, terutamanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana resolusi yang dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO harus dihormati bahawa kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ada ini hingga akhir penggal,” katanya ketika sidang media sempena PAU 2026.
Menurut Zahid, pelbagai isu yang dibangkitkan perwakilan dan jurucakap sayap sepanjang PAU adalah pandangan individu atau kelompok masing-masing dan tidak semestinya mencerminkan pendirian kepimpinan parti.
“Walaupun banyak isu-isu yang telah dibangkitkan oleh perwakilan atau jurucakap sayap-sayap tetapi itu adalah pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pendirian rasmi UMNO hanya akan dibuat melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO atau dirinya sendiri.
“Namun bagi kami di peringkat kepimpinan, sebarang pendirian rasmi adalah jika sesuatu keputusan itu kami keluarkan secara rasmi melalui kenyataan media daripada Setiausaha Agung UMNO atau saya sendiri,” katanya.
Zahid turut menegaskan UMNO akan menghormati resolusi PAU yang menetapkan parti terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Katanya, tempoh sebenar berakhirnya penggal semasa bagaimanapun belum dapat dipastikan.
“Kita pun tidak tahu bila akhir penggal,” katanya.
Pendirian itu sekali gus menunjukkan bahawa kritikan atau gesaan yang muncul sepanjang PAU tidak secara automatik mengubah pendirian rasmi UMNO terhadap Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungannya, Zahid secara terbuka mencabar Pakatan Harapan (PH), yang diketuai oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai pengerusi, untuk menyingkirkan BN daripada kerajaan perpaduan.
“Satu (pilihan buat PH) dapatkan semula mandat baru dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU).
“Kedua, keluarkan kami (BN) secara rasmi (dengan) buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat, bubar (Parlimen),” katanya ketika berucapan pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.