
KUALA LUMPUR 28 Mac 26 — Pendekatan kerajaan dalam mengurus isu kos sara hidup kini berdepan kritikan apabila dilihat gagal dari sudut komunikasi dan akauntabiliti, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap ketelusan dalam penyampaian dasar kepada rakyat.
Penganalisis ekonomi yang juga Pengerusi International Development and Research Institute in Sustainability (IDRIS), Datuk Nizam Mahshar berpandangan kerajaan perlu lebih terbuka dalam menjelaskan keadaan sebenar, bukannya sekadar menampilkan naratif positif tanpa menghuraikan risiko dan cabaran yang sedang dihadapi.
Ketika mengulas isu kenaikan harga bahan api yang mendadak ini, beliau berkata kekurangan penjelasan menyeluruh termasuk dalam isu tersebut, telah menyebabkan rakyat tidak mendapat gambaran jelas tentang hala tuju dasar serta implikasinya dalam tempoh terdekat.
“Kerajaan perlu berterus terang. Rakyat bukan hanya mahu dengar perkara yang baik, tetapi juga realiti sebenar yang perlu dihadapi,” katanya kepada politiko.
Beliau berkata, keadaan itu memberi kesan besar kepada tahap keyakinan awam, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bergantung kepada kejelasan dasar untuk membuat perancangan kewangan.
Tambahnya, beberapa isyarat dasar seperti cadangan bekerja dari rumah dan galakan menanam sayur turut menimbulkan tanda tanya, sama ada ia mencerminkan persediaan menghadapi krisis yang lebih besar.
“Apabila isyarat diberikan tanpa penjelasan, ia hanya menambah ketidakpastian dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kelemahan utama bukan sekadar pada dasar, tetapi pada cara ia disampaikan dan dipertanggungjawabkan kepada umum.
Menurutnya, terdapat tiga aspek yang perlu diperbaiki segera, iaitu pengakuan terhadap masalah sebenar, penyampaian maklumat secara telus, serta pembukaan ruang kepada pelbagai pihak termasuk industri dan masyarakat untuk menyumbang pandangan.
Beliau berkata, banyak persatuan perniagaan dan pemain industri mempunyai cadangan praktikal yang boleh membantu mengurangkan tekanan kos, namun penglibatan mereka masih terhad.
“Kerajaan perlu membuka ruang dialog yang lebih luas supaya penyelesaian yang dirangka lebih menyeluruh dan berasaskan realiti di lapangan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan beberapa cadangan yang dilihat tidak setimpal dengan cabaran semasa, sambil menegaskan bahawa pendekatan bersifat simbolik tidak mencukupi untuk menangani tekanan kos yang semakin meningkat.
Katanya, tanpa penambahbaikan dari segi komunikasi dan akauntabiliti, usaha menangani kos sara hidup akan terus berdepan cabaran dari sudut kepercayaan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.