
KUALA LUMPUR, 9 DIS 25 — Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, mempersoalkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi selepas mengumumkan bahawa rang undang-undang (RUU) berkaitan Ombudsman akan dibentangkan awal tahun depan.
Menurut Zaid, langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai rang undang-undang baharu di bawah kerangka “Strategi Madani” tidak semestinya membuktikan berlakunya reformasi sebenar.
Beliau mendakwa projek RUU Ombudsman itu digerakkan oleh Perdana Menteri bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said, serta Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki adalah tokoh yang menurutnya bukan sinonim dengan standard ketelusan tinggi.
Zaid memberi peringatan bahawa negara tidak boleh menubuhkan institusi Ombudsman secara tergesa-gesa tanpa perbahasan awam mendalam, seperti yang dilakukan negara-negara yang berjaya menguatkuasakannya, termasuk New Zealand, Sweden dan Australia.
Katanya, Ombudsman yang berkesan memerlukan kuasa jelas, kebebasan penuh serta kemampuan menegakkan akauntabiliti terhadap kerajaan.
“Di negara-negara maju, Ombudsman ditubuhkan hanya selepas bertahun-tahun perdebatan mengenai bidang kuasa, akses maklumat dan kebebasan operasi daripada campur tangan menteri,” katanya.
Zaid menegaskan bahawa kerajaan perlu berani memperincikan kuasa Ombudsman secara terbuka dan memastikan institusi itu diletakkan di bawah Parlimen serta dibiayai secukupnya agar benar-benar bebas.
Beliau turut mempersoalkan sama ada draf RUU tersebut akan didedahkan kepada umum bulan depan seperti yang dijanjikan.
“Jika tidak, kita akan berakhir dengan satu lagi biro aduan yang bersolek sebagai reformasi,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.