
KUALA LUMPUR, 28 Ogos 25 — Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyokong cadangan Senator Robert Lau agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyemak semula pengurusan dan perbelanjaan Petronas sejak penubuhannya.
Zaid berkata, cadangan itu wajar kerana Petronas didakwa telah menjana lebih RM1 trilion hasil minyak dari sumber Sarawak, namun negeri itu masih berdepan masalah kemiskinan luar bandar, infrastruktur yang lemah, serta komuniti pribumi yang terpinggir.
“RCI harus menyiasat bagaimana Petronas membelanjakan hasil tersebut, sama ada dana diagihkan dengan adil antara negeri dan mengapa terlalu sedikit yang didedahkan kepada umum walhal syarikat itu milik sepenuhnya rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, Zaid menegaskan bahawa ketelusan tidak boleh terhenti setakat Petronas sahaja, sebaliknya turut melibatkan kepimpinan negeri Sarawak sendiri.
“Untuk berdekad-dekad, berbilion ringgit peruntukan persekutuan disalurkan ke Sarawak bagi sekolah, jalan luar bandar dan klinik. Tetapi audit mendapati ketirisan sehingga 60% dalam projek negeri. Ke mana perginya wang itu?” soal beliau.
Zaid turut menyorot era panjang pemerintahan bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud, yang menyaksikan kontrak negeri banyak diberikan kepada kelompok terhad syarikat berkait politik. Beliau mendakwa kekayaan keluarga Taib dianggarkan mencecah RM46 bilion tidak termasuk rakan rapatnya.
Selain itu, katanya, industri kayu balak dan kelapa sawit yang menjana berbilion ringgit juga gagal memanfaatkan pemilik tanah asal, sementara kadar kemiskinan terus kekal tinggi. Malah, beliau menyifatkan pentadbiran semasa masih mengulangi corak lama apabila syarikat berkait politik mendominasi konsesi jalan raya mega serta lesen pembalakan.
Zaid turut mempersoalkan ketelusan syarikat minyak dan gas milik negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros), yang kini memainkan peranan penting dalam projek tenaga baharu.
“Siapa yang menyemak kontrak-kontrak Petros? Siapa yang mendapat manfaat daripada usaha tenaga baharu ini – rakyat biasa Sarawak atau segelintir kelompok politik dan perniagaan?” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa RCI perlu mengambil kira piawaian akauntabiliti yang sama terhadap Petronas dan kepimpinan Sarawak.
“Persoalan paling asas yang harus dijawab Suruhanjaya ialah: mengapa, meskipun kekayaan minyak mencecah trilion ringgit, rakyat Sarawak – terutama komuniti luar bandar dan pribumi – masih terpinggir?” kata beliau. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.