
KUALA LUMPUR | 9 Feb 26 — Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendakwa parti BERSATU sedang “reput dari dalam” akibat tindakan penyokong Presiden parti itu sendiri, termasuk kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwanya telah hilang kelayakan untuk terus memimpin parti menjelang PRU16.
Menurut Saifuddin, Muhyiddin bukan sahaja berdepan masalah hala tuju, malah sudah “hilang kemampuan dari segi ilmu, kemahiran dan adab kepimpinan”, sekali gus wajar mempertimbangkan untuk berundur demi masa depan parti.
Beliau berkata kebimbangan dan perbezaan pandangan dalam kalangan ahli dan pimpinan BERSATU tidak ditangani secara terbuka melalui perbahasan politik, sebaliknya ditekan menggunakan tindakan lembaga disiplin yang didakwanya tidak berlandaskan prinsip keadilan.
“Apa yang berlaku ialah satu corak yang berulang. Apabila tekanan meningkat, perbezaan pendapat tidak dijawab melalui perbahasan politik yang terbuka, tetapi melalui tindakan lembaga disiplin,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin turut mempersoalkan peranan lembaga disiplin parti sama ada benar-benar menjalankan tanggungjawabnya atau digunakan sebagai senjata untuk mengawal kebimbangan dan pandangan berbeza dalam parti.
Isu itu, katanya, memuncak apabila satu notis dikeluarkan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menurutnya menggunakan naratif hampir sama seperti tindakan disiplin terhadap pimpinan lain sebelum ini.
“Hari ini satu notis pula dikeluarkan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin. Tuduhan-tuduhan yang dikemukakan hampir sama dengan naratif yang pernah digunakan sebelum ini,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan masa tindakan tersebut yang disifatkan muncul ketika tumpuan rakyat, khususnya orang Melayu, sedang terarah kepada kelemahan kerajaan sedia ada dan isu-isu besar negara.
“Adakah ini percubaan mereka untuk membunuh Datuk Seri Hamzah secara ‘slow death’, supaya mereka yang bimbang dan berbeza pendapat dengan Tan Sri akan takut?” soalnya.
Saifuddin menegaskan, pihak yang berlindung di sebalik tindakan lembaga disiplin yang bersifat drakonian itulah sebenarnya yang sedang menyebabkan BERSATU semakin reput dari dalam.
Saifuddin adalah Ahli Parlimen kedua dipecat selepas Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang dipecat pada tahun lalu. Krisis kepimpinan BERSATU semakin meruncing apabila terdapat gesaan agar Timbalan Presiden BERSATU yang juga Ketua Pembangkang PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat atas dakwaan salah laku terhadap parti. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.