Sertai PN : Hamzah Ucap Terima Kasih Kepada Majlis Tertinggi PN

KUALA LUMPUR | 23 Jun 26 – Parti Wawasan Negara secara rasmi memulakan lembaran baharu dalam landskap politik negara selepas diterima sebagai parti anggota dalam Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Hamzah memaklumkan Mesyuarat Khas Perwakilan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang berlangsung pada 20 Jun lalu telah sebulat suara bersetuju menjenamakan semula parti itu kepada Parti Wawasan Negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Tertinggi PN atas kepercayaan yang diberikan dengan menerima Wawasan Negara sebagai parti komponen dalam gabungan tersebut.

“Keputusan ini membuka lembaran baharu bukan sahaja kepada Wawasan Negara, malah kepada usaha memperkukuhkan Perikatan Nasional selaku gabungan yang semakin diyakini rakyat untuk memimpin Malaysia,” katanya.

Menurut Hamzah, penyertaan Wawasan Negara akan memberikan nilai tambah kepada kekuatan sedia ada PN, khususnya dalam memperjuangkan agenda perubahan yang berteraskan kompetensi, integriti dan kestabilan.

Beliau berkata, sebagai sebuah parti yang berwajah Malaysia, Wawasan Negara membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang dan percaya masa depan negara perlu dibina melalui kerjasama, kesederhanaan serta komitmen terhadap kepentingan nasional.

Hamzah turut menegaskan bahawa Wawasan Negara berhasrat menjadi jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat dengan PN, sekali gus memperluaskan sokongan terhadap gabungan itu.

“Kami hadir sebagai jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat, memperluaskan sokongan serta mengukuhkan lagi kedudukan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan yang inklusif, stabil dan sedia mentadbir,” katanya.

Penyertaan Wawasan Negara ke dalam PN dilihat sebagai perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kedudukan gabungan pembangkang menjelang cabaran politik akan datang, selain memberi ruang kepada perluasan pengaruh PN kepada kelompok pengundi yang lebih pelbagai.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat telah mengesahkan kembali Hamzah menggalas tanggungjawab sebagai ketuka Pembangkang. Pada sebelah malamnya pula, Pengerusi PN memgumumkan penerimaan parti Wawasan Negara sebagai ahli gabungan PN. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share