
JOHOR BAHRU | 25 Jun 26 – Mantan Speaker DUN Johor, Datuk Dr Puad Zakarshi mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta hari ini dengan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dikawal oleh pihak Istana.
Dalam satu kenyataan, Puad berkata keputusan meninggalkan parti itu dibuat tanpa paksaan dan bukan kerana kepentingan peribadi, sebaliknya didorong oleh kebimbangannya terhadap hala tuju UMNO Johor.
Menurut beliau, alasan utama pengundurannya adalah kerana kepimpinan UMNO Johor didakwa tidak lagi mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan politik penting.
“UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh Istana dalam membuat keputusan,” dakwanya.
Puad turut mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pernah memaklumkan kepadanya bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat atas titah pihak Istana.
“Satu bukti jelas ialah YAB Dato’ Onn Hafiz sendiri buat pengakuan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun 2026. Dia maklum kepada saya bahawa pihak Istana yang titah kepada beliau agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026,” katanya.
Beliau mendakwa terdapat pelbagai lagi contoh yang menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri hanya menurut arahan pihak tertentu sehingga menyebabkan UMNO Johor menjadi “boneka yang terikat”.
Sehubungan itu, Puad berkata beliau memilih untuk melakukan apa yang disifatkannya sebagai “keberanian politik” dengan mendedahkan perkara tersebut sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Pada masa sama, beliau menolak tanggapan bahawa tindakannya keluar UMNO didorong oleh kepentingan politik peribadi.
Menurutnya, keputusan itu dibuat ketika UMNO berada dalam kedudukan yang kuat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk perancangan parti untuk bertanding secara solo di 56 kerusi DUN.
“Maka siapa yang ada kepentingan? Mereka atau saya?” soalnya.
Puad turut menyatakan beliau kini bebas mengkritik UMNO tanpa perlu berdepan tuduhan menikam parti dari belakang, sambil menegaskan beliau masih menghormati UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan diadakan pada 11 Julai 2026 seperti yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Manakala Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 27 Jun ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.