Calon PN Sikamat Mahu Tubuh Jawatankuasa Bertindak Jika Menang

SEREMBAN | 31 Julai 26 – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Razali Abu Samah, berkata beliau bersedia memikul amanah yang diberikan pengundi sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, keputusan untuk menyertai politik dibuat selepas terlibat secara aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain menerima kepercayaan masyarakat melalui peranan yang dipegang sebelum ini.

“Saya sanggup memikul amanah itu dengan daya tahan dan integriti yang tinggi. Saya tidak menyatakan bahawa saya mempunyai integriti yang tinggi, namun setelah dua NGO yang saya pegang sebagai ketua juga, satu sebagai presiden persatuan di kawasan perumahan dan satu lagi sebagai timbalan presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA), inilah yang membuatkan saya yakin. Katanya sewaktu menjadi tetamu dalam podcast Politikopi, kelmarin.

Razali juga berkata, pengalaman berkenaan mendorong beliau untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat melalui platform politik.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatannya adalah untuk melaksanakan sesuatu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang janji kepada rakyat.

“Bagi saya, prinsip saya ialah jangan berjanji. Buat dahulu, kemudian barulah kita tahu apakah hasilnya nanti. Kalau kita selalu berjanji tetapi tidak buat, orang akan melihat kita sebagai tidak boleh dipercayai.”

Menurutnya, antara perkara pertama yang akan dilaksanakan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

“Kita akan adakan jawatankuasa bertindak di DUN Sikamat ini. Fokus yang akan kita berikan terutamanya kepada warga emas, ibu tunggal dan anak-anak yatim yang memerlukan bantuan segera.”

Beliau berkata, setiap permohonan bantuan akan diteliti secara terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan penerima.

Razali merupakan antara calon yang menjadi tumpuan dalam PRN Negeri Sembilan berikutan persaingan sengit di DUN Sikamat, yang sebelum ini dianggap sebagai antara kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

DUN N.13 Sikamat menyaksikan pertembungan 3 penjuru iaitu Datuk Razali Abu Samah (PN) (kiri), Nor Azman Mohamad (PH) dan Tun Faisal Ismail (Bersatu). @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Apa PN Mahu? Soal Penganalisis

"Bawa wajah yang rakyat mudah hadam, biar mereka faham apa agenda sebenar PN. Agenda pemerkasaan Melayu seperti payung besar. Muafakat nasional antara PAS, Umno, atau Bersatu atau bentuk gabungan mewakili semua kaum.
Read More
Total
0
Share