23 Kerusi Hilang Deposit, 16,957 Undi Keseluruhan: BERSATU Kini Sesat Dalam Ego Sendiri

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memberi satu isyarat politik yang sukar diabaikan terhadap kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Perikatan Nasional (PN).

Daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, BERSATU bertanding di 24 kerusi termasuk calon Bersatu-Bersekutu dan Bersatu-Urimai. Namun, keputusan akhirnya menyaksikan tiada satu pun kerusi berjaya dimenangi parti itu.

Lebih mencuri perhatian, daripada 24 calon yang bertanding, 23 calon gagal melepasi syarat mendapatkan semula deposit. Hanya calon Bersatu-Bersekutu di Jeram Padang, Sri Sanjeevan Ramakrishnan, berjaya memperoleh undi melepasi paras tersebut dengan 2,191 undi.

Secara keseluruhan, semua calon BERSATU hanya mengumpulkan 16,957 undi, dengan purata sekitar 707 undi bagi setiap kerusi yang ditandingi.

Angka ini menjadi persoalan besar kerana BERSATU sebelum ini dilihat sebagai salah satu komponen utama dalam kebangkitan PN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun, siri keputusan PRN kebelakangan ini menunjukkan cabaran yang semakin jelas terhadap kemampuan BERSATU mengekalkan peranan sebagai tonggak utama gabungan tersebut.

BERSATU Bukan lagi Aset PN?

Ironinya, kelemahan BERSATU di Negeri Sembilan berlaku ketika PN masih berjaya mencatat beberapa kemenangan melalui komponen lain.

PAS, misalnya, bertanding di lima kerusi dan memenangi empat daripadanya. Calon PAS turut mengumpulkan 75,160 undi keseluruhan, jauh mengatasi jumlah undi semua calon BERSATU walaupun BERSATU bertanding hampir lima kali ganda lebih banyak kerusi.

Perbezaan ini menunjukkan satu persoalan penting: adakah kekuatan PN hari ini tidak lagi bergantung kepada BERSATU?

Di Negeri Sembilan, data menunjukkan PAS berjaya menukar sokongan kepada kemenangan, manakala BERSATU gagal menukar jumlah kerusi yang besar kepada penguasaan politik.

Corak yang sama di Johor dan Sabah?

Prestasi BERSATU di Negeri Sembilan tidak berlaku dalam ruang kosong. Ia hadir selepas beberapa keputusan pilihan raya negeri lain yang turut memberikan cabaran kepada kedudukan parti tersebut.

Di Johor, BERSATU gagal mengulangi kejayaan PRU15 apabila Barisan Nasional (BN) kembali menguasai sebahagian besar kerusi negeri. Keputusan itu memperlihatkan kelemahan ketara BERSATU yang mana Presidennya datang dari Negeri Johor.

Di Sabah pula, politik negeri yang lebih kompleks dengan pengaruh parti tempatan menyebabkan BERSATU masih berdepan cabaran besar untuk muncul sebagai pemain utama.

Gabungan beberapa keputusan ini memberikan satu gambaran bahawa momentum yang diperoleh BERSATU selepas PRU15 belum berjaya diterjemahkan kepada penguasaan negeri.

Dari parti alternatif kepada persoalan identiti

Cabaran terbesar BERSATU bukan hanya untuk menewaskan pesaing politik, tetapi untuk meyakinkan pengundi dan rakan gabungan bahawa parti itu masih mempunyai nilai politik tersendiri.

Selepas PRU15, BERSATU berjaya membina imej sebagai alternatif kepada UMNO dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu.

Namun keputusan beberapa PRN selepas itu menunjukkan bahawa sokongan tersebut semakin tertumpu kepada kekuatan gabungan, khususnya apabila PAS dilihat lebih berjaya menggerakkan sokongan kepada kemenangan.

Bagi menghadapi PRU16, BERSATU perlu menjawab satu persoalan besar: apakah kekuatan parti itu datang daripada jenama BERSATU sendiri, atau semata-mata kerana berada dalam payung PN?

Keputusan Negeri Sembilan memberikan satu amaran awal bahawa dalam politik pilihan raya, jumlah kerusi yang dipertandingkan tidak semestinya menggambarkan kekuatan sebenar.

Pada akhirnya, yang menentukan pengaruh sesebuah parti bukan berapa banyak kerusi yang diminta, tetapi berapa banyak kerusi yang mampu dimenangi. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share