
KUALA LUMPUR | 23 Sept 26 – Pemuda Wawasan Negara menuntut Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan pelaksanaan pengguguran syarat minimum 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah kementerian itu.
Ketuanya, Faiz Rahmad, berkata perubahan dasar yang menyentuh penyertaan ekonomi Bumiputera perlu disertai alasan terperinci, penilaian impak serta jaminan bahawa peluang pemilikan Bumiputera terus diperkukuh.
Tuntutan itu dibuat susulan keputusan KPM bahawa pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS di bawah kementerian berkenaan. KPM berkata penyelarasan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan dan memastikan ruang penyertaan terbuka kepada semua pihak.
Menurut Faiz, alasan memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan masih terlalu umum untuk menjawab persoalan mengenai kesan pengguguran syarat tersebut.
Beliau mempersoalkan sejauh mana syarat 30 peratus itu menghalang perkembangan institusi, apakah manfaat penggugurannya kepada pelajar serta bagaimana kedudukan pengusaha dan pemilik Bumiputera akan dipelihara.
“Pemuda Wawasan Negara berpandangan bahawa pegangan Bumiputera masih wajar dan relevan kerana pembangunan ekonomi perlu merangkumi peluang memiliki aset, menikmati pulangan pelaburan dan mengambil bahagian dalam keputusan perniagaan,” katanya dalam kenyataan media.
Faiz berkata penyertaan Bumiputera dalam sektor pendidikan tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut pelajar dan pekerja, tetapi turut merangkumi peluang untuk menjadi pemilik serta pengusaha.
Sehubungan itu, Pemuda Wawasan Negara menuntut kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengguguran menyeluruh sehingga penilaian impak dan mekanisme perlindungan penyertaan Bumiputera dibentangkan.
Ia turut menggesa kerajaan menerbitkan data pemilikan IPS mengikut kategori dan skala, termasuk penilaian kesan syarat ekuiti terhadap pelaburan, pengusaha dan pelajar.
Pada masa sama, Faiz mengakui masalah pemegang saham atas nama, ketirisan dan manfaat yang tertumpu kepada kelompok tertentu perlu ditangani secara tegas.
“Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Jangan sampai yang disebut sebagai ‘penyelarasan’ akhirnya menjadi pengunduran daripada tanggungjawab memperkukuh pemilikan Bumiputera,” katanya.
Dalam perkembangan yang berasingan, MITI menjelaskan bahawa kementerian itu tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan syarat pemilikan IPS yang diumumkan oleh KPM, dan menyatakan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.