ARMADA Johor Bahru Bungkus, Umum Hilang Kepercayaan Terhadap Muhyiddin, AJK keluar Parti

JOHOR BAHRU | 17 Feb 26 – Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia terus membara apabila seluruh Jawatankuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bahagian Johor Bahru mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Dalam notis rasmi bertarikh 17 Februari 2026 yang ditandatangani oleh Naib Ketua ARMADA (Pemangku), Aiman Aizat Azhar, jawatankuasa sayap pemuda itu menegaskan keputusan dibuat secara sebulat suara selepas penilaian menyeluruh terhadap kepimpinan parti di peringkat pusat.

Menurut kenyataan tersebut, mereka hilang keyakinan terhadap kemampuan dan kredibiliti Presiden parti untuk memulihkan integriti, disiplin organisasi serta kestabilan dalaman.

ARMADA Johor Bahru turut mempersoalkan ketelusan dan keadilan prosedur Lembaga Disiplin parti, yang didakwa telah menimbulkan persoalan besar dalam kalangan akar umbi. Mereka mendakwa kegagalan mengurus konflik dalaman secara berprinsip dan adil telah menjejaskan moral serta kepercayaan ahli.

“Pendirian ini bukan dibuat secara emosional, tetapi hasil rumusan pengalaman, pemerhatian serta implikasi keputusan-keputusan pusat yang memberi kesan langsung kepada keyakinan ahli,” menurut notis tersebut.

Susulan keputusan majoriti dua pertiga ahli jawatankuasa, ARMADA BERSATU Bahagian Johor Bahru kini secara rasmi terbubar.

Langkah drastik ini dilihat sebagai satu lagi tamparan terhadap kestabilan dalaman parti, khususnya di negeri Johor yang sebelum ini menjadi antara kubu penting dalam percaturan politik nasional. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share