
KUALA LUMPUR, 16 APR 25 – Tangkapan terhadap bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan bekas Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah permulaan kepada isu rasuah berkaitan pemberian konsesi tambakan laut di Melaka.
Ketua Pembangkang DUN Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, isu rasuah itu dipercayai berlaku di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekitar tahun 2021 hingga 2023.
“Tuntaskan segera siasatan isu konsesi pasir yang timbul sejak sebelum PRN Melaka 2021 yang lalu dan yang menjadi antara punca kemelut politik di Melaka sehingga terbubarnya DUN Melaka waktu tempoh PKP 3 tahun lalu.
“Semua yang terlibat harus didedahkan kepada umum agar rakyat Melaka terutamanya siapa dalang di sebalik isu pasir di Melaka,” katanya, dalam satu kenyataan.
Katanya, siasatan juga perlu dilaksanakan terhadap individu terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka ketika itu.
“Ini baru cebisan awal drama yang terkait dengan konsesi tambakan laut di Melaka.
“Agak pelik apabila Ali yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan negeri dan kerajaan pusat pula yang perlu disiasat,” katanya, dan tidak menolak ceritanya mungkin berbeza sekiranya Ali masih bersama Umno.
SPRM juga katanya perlu menyiasat ketua menteri Melaka ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Datuk Seri Rauf Yusoh yang ketika itu merupakan Ketua Umno Melaka.
Selain itu, Yadzil turut mempersoalkan tiada siasatan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Harun, sedangkan namanya disebut dalam laporan polis dan SPRM berkaitan kes tersebut.
“Kalau ada yang menerima pasti ada yang memberi, kalau ada yang memohon pasti ada yang meluluskan.
“Mustahil hanya ‘seekor jerung‘ yang terlibat, mustahil pihak kerajaan negeri pada ketika itu tidak terlibat sama sekali,” katanya.
Beliau turut mengingatkan SPRM agar menyiasat perkara ini dengan telus dan tuntas selain memastikan semua pihak yang terbabit, sama ada pemberi, penerima dan yang bersubahat dikesan, disiasat, dan didakwa bersama dengan adil tanpa prejudis. @politiko.my