Pempengaruh Dipanggil SKMM Gara-Gara Mahu ‘Scrut’ Nurul Izzah

KUALA LUMPUR, 25 APR 25 – Seorang mempengaruhi media sosial Aliff Ahmad mendedahkan dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berikutan hantarannya yang menawarkan carian latar belakang terperinci ke atas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar melalui sistem yang dikenali sebagai “Scrut Analytica”.

Aliff yang juga pengasas bersama sistem itu berkata, pihaknya menerima notis SKMM untuk hadir ke pejabat suruhanjaya berkenaan 8 malam tadi di Cyberjaya.

“Aku ada hal. Aku tak boleh datang. Aku suruh pagi esok diorang pergi jumpa majistret tunjuk hantaran aku, minta waran tangkap.

“Buatlah dokumen sikit malam ini,” kata Aliff melalui hantaran media sosial miliknya.

Hantaran itu disertakan tangkapan skrin hantaran sebelum ini ketika dia membuat tawaran melakukan ‘scrut’ (membuat carian) mengenai kerja dan sumber pendapatan Nurul Izzah, yang juga anak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya mendapat 20,000 perkongsian di Facebook.

Aliff bagaimanapun memaklumkan beliau akan hadir ke pejabat SKMM pukul 10 pagi ini.

“Siapa ada kelapangan, kita jumpa di sana. Aku takut? Tidak. Aku sangat teruja. Mungkin inilah alasan kuat aku untuk buat ‘scrut’ Nurul Izzah walaupun perkongsian masih tidak cukup 20,000.

“Aku letak 20,000 sebab asalnya aku tak nak buat. Kalau capai baru buat. Apa pun, kalau ada yang menjual. Aku rela membeli. Marilah,” katanya.

Beliau bagaimanapun kesal dengan tindakan SKMM itu, yang menurutnya tidak mengambil tindakan terhadap isu lain yang lebih penting sebaliknya memberikan perhatian kepada hantarannya yang dianggap tidak menyalahi sebarang peraturan.

“Aku rasa kelakar apabila MCMC beriya nak siasat hantaran yang aku pasti tiada apa-apa kesalahan undang-undang mahupun jenayah di dalamnya.

“Walhal di luar sana berapa banyak hantaran, video atau gambar yang jelek, jijik, lucah, porno dan dahsyat yang terang-terangkan melanggar undang-undang dan akta komunikasi dan multimedia yang patut disiasat.

“Tetapi, sehingga hari ini mereka masih berbahagia hidup seperti biasa,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share