
KUALA LUMPUR | 3 Ogos 26 – Kekalahan teruk BERSATU dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai sesuatu yang sudah dijangkakan dan bukannya satu kejutan besar dalam landskap politik negara.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berkata keadaan itu berpunca daripada kegagalan BERSATU membentuk identiti politik yang jelas serta menampilkan dirinya sebagai salah satu teras utama politik tanah air.
Menurut beliau, BERSATU kini berdepan masalah yang lebih besar daripada sekadar kehilangan kerusi, iaitu kegagalan untuk menentukan arah perjuangan yang mampu menarik sokongan rakyat.
“Kekalahan teruk Bersatu di PRN Negeri Sembilan bukanlah mengejutkan, malah sudah dijangkakan oleh penganalisis.
“Hakikatnya, Bersatu gagal menampilkan diri sebagai salah satu teras ideologi mahupun identiti utama parti-parti politik masa kini,” katanya.
Ahmad Fauzi turut mengkritik pendekatan kepimpinan parti itu yang didakwa bertindak secara terburu-buru dan terlalu mudah menyingkirkan tokoh-tokoh penting dalam parti.
Katanya, tindakan sedemikian memberikan kesan negatif terhadap persepsi masyarakat Melayu yang secara tradisinya lebih cenderung kepada kepimpinan yang bersifat sederhana dan tidak menzalimi pihak lain.
“Bersatu, walaupun tidak sekuat mana kekuatan akar umbi jentera partinya, bertindak dalam nada sombong dengan membuang orang kanannya secara semberono.
“Ini menjauhkannya lagi daripada orang Melayu yang terkenal dengan sifat rendah diri dan benci akan penzaliman,” katanya.
Beliau berkata, keadaan tersebut mengingatkan kepada kebangkitan gelombang reformasi yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung 1990-an sehingga mencetuskan perubahan besar dalam corak sokongan politik orang Melayu ketika itu.
Menurut Ahmad Fauzi, BERSATU perlu segera menentukan pendirian sama ada mahu bergerak seiring dengan kelompok liberal-reformis yang diterajui Pakatan Harapan (PH) ataupun memilih arus nasionalis-Islamis yang dipimpin oleh gabungan UMNO, PAS dan Perikatan Nasional (PN).
“Jika Bersatu tidak mengubah haluan perjuangannya ke arah salah satu arus perdana, Bersatu akan semakin cepat terkeluar daripada arus utama politik Malaysia kontemporari.
“Walaupun ia pernah melahirkan dua orang Perdana Menteri dan mengetuai beberapa kerajaan negeri, faktor tersebut tidak lagi menjamin kelangsungan sesebuah parti,” katanya.
Beliau menambah bahawa sistem pilihan raya ‘first past the post’ yang diamalkan di Malaysia turut menjadikan kedudukan parti kecil semakin sukar untuk dipertahankan.
“Pengundi yang rasional tidak akan membazirkan undi mereka kepada sebuah parti kecil yang tidak mempunyai harapan untuk membentuk kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan,” katanya.
Dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, parti BERSATU tewas di semua 24 kerusi di tandingi dan 23 daripada 24 calon, hilang wang pertaruhan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.