
KUALA LUMPUR, 27 Apr 25 – Bekas Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraidah Kamaruddin berpandangan komuniti Melayu bandar, yang menetap di kawasan perumahan flat dan pangsapuri uzur mengharapkan bantuan untuk memperbaiki kehidupan mereka.
Katanya, pihak kerajaan dan pembangkang seharusnya mencari titik tengah dan penyelesaian agar masalah dihadapi mereka dapat diselesaikan.
“Mesti ada jalan tengah adakan perbincangan bertemu, nak tolong orang Melayu lebih selesa dan jangan dimanipulasi untuk dijual kepada bangsa asing, mesti ada kuota, setakat RM300,000 orang Melayu boleh mampu beli.
“Kita tak boleh kasi kuota lebih kepada bukan Melayu, dah tiba masa kerajaan buat tabung perumahan bumiputera, jadi di situ boleh ambil loan kadar interest rendah, mereka mampu,” katanya, kepada Politiko.my ketika mengulas isu Akta Pembaharuan Bandar atau Urban Renewal Act (URA).
Tambahnya, sudah sampai masanya kerajaan menubuhkan tabung perumahan bumiputera untuk membantu orang Melayu bandar membuat pinjaman dengan kadar faedah yang rendah.
Zuraidah yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang juga mencadangkan agar semua pihak duduk berbincang dan mencari jalan terbaik agar pelaksanaan akta tersebut dapat memelihara hak mereka.
“Memang 60% hingga 70% penduduk kawasan macam ini mereka minta pembaharuan, (tapi) mereka tak mampu. Johor, Selangor, Port Klang banyak rumah begitu. Mesti ada kaedah bantu orang Melayu,” ujarnya.
Namun, isu itu katanya tidak berkaitan dengan kemelut Kampung Sungai Baru, yang mana penduduk diarahkan keluar dari kawasan tersebut.
“Kampung Sungai Baru adalah isu tanah, bukan isu bangunan,” katanya. @politiko.my