
KUALA LUMPUR, 3 MEI 25 – Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman membangkitkan persoalan ‘hilangnya’ Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, yang menurutnya berlaku ditengah-tengah negara berhadapan ketidaktentuan ekonomi.
Syahir berkata, amat janggal untuk menteri bercuti panjang dalam tempoh yang kritikal seperti ini sedangkan seharusnya peranannya amat diperlukan.
“Amat janggal tempoh begini menteri ekonomi mengambil cuti, bukan dicutikan tapi ambil cuti panjang.
“Dalam ketidaktentuan ekonomi global pasca pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS), adalah tak munasabah dalam tempoh ini tidak ada menteri ekonomi dalam Kabinet untuk menasihati dan memandu Jemaah Menteri dalam aspek ekonomi luar dan juga dalam negara,” katanya, kepada politiko.my.
Seingatnya, Rafizi yang juga timbalan presiden PKR sememangnya sudah lama tidak kelihatan.
“Cuma seingat saya saya, Rafizi telah lama menyepi dan menghilang, ada pun seperti tidak ada,” sindirnya. @politiko.my