
KUALA LUMPUR, 7 Jul 25 – Mana-mana pihak yang cuba “menganggu” rancangan peralihan kuasa barisan kepimpinan Bersatu yang diumumkan Presiden Tan Sri Muhyiddin adalah pengkhianat kepada parti, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata, pelan peralihan kuasa itu yang menjadikan parti kekal stabil kerana barisan kepimpinannya sudah dinyatakan dengan jelas.
“Presiden dengan pengalaman panjang gariskan ‘succession plan’, kita stabil sebab itu, jangan ada dikalangan kita cuba ubah visi presiden kita.
“Bagi saya kalau ada sesiapa cuba menafikan cadangan itu, itulah sebenarnya pengkhianat dalam parti,” tegas Wan Saiful.
Barisan pemimpin pelapis itu katanya sudah dinyatakan dengan jelas dan turut menerima sokongan kepimpinan tertinggi Bersatu, kata Wan Saiful.
“Kestabilan dalam Bersatu, Perikatan Nasional (PN) terjaga dan terjamin. Satu konvensyen di Selayang pada Julai lepas, Muhyiddin dah nyatakan dengan jelas, ‘succession plan’, kami dalam MPT minta beliau gariskan, beliau umumkan dan kita laksanakan visi presiden dalam pemilihan.
“Apabila Muhyiddin nyatakan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Radzi Jidin, Datuk SERI Ronald Kiandee sebagai naib presiden, dan Datuk Seri Azmin Ali sebagai setiausaha agung, kita sokong sepenuhnya ‘succession plan’ itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di mesyuarat agung tahunan Bersatu Bahagian Bentong, semalam.
Malah, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu yakin tiada mana-mana parti yang mempunyai barisan pelapis jelas seperti pembangkang itu.
“Mana ada parti lain. Cuba tanya PKR, Pakatan Harapan (PH), kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ada siapa nak ganti, mereka tak boleh jawab kerana mereka tidak fikir ‘succession plan’,” jelasnya. @politikko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.