
KUALA LUMPUR, 5 MEI 25 – Pentadbiran kerajaan negeri perlu dilibatkan secara menyeluruh dalam usaha menghadapi cabaran berat landskap perdagangan susulan pengenalan tarif oleh Amerika Syarikat (AS), kata Ahli Parlimen Bachok Syahir Che Sulaiman.
Syahir menegaskan, tidak wajar usaha menangani cabaran baharu itu ditanggung oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) semata-mata tanpa penglibatan pemegang taruh yang lain.
“Saya hargai usaha Miti tangani cabaran baharu ini tapi yang ikhtiar berat ini memerlukan suatu pendekatan keseluruhan negara dalam aspek persediaan, pelarasan dan penyelarasan, atau 3P, yang saya simpulkan melibatkan pemain industri, dewan perniagaan, kalangan teknokrat, ahli akademik dan pemegang taruh terpenting, kerajaan-kerajaan negeri, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Perak, dan Melaka, yang merupakan pangkalan kepada pelbagai kluster industri perlu dilibatkan secara langsung, dalam usaha penyelarasan dasar perdagangan pelaburan dan pelabuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan ketika sidang khas Dewan Rakyat di Parlimen, pagi tadi.
Jelasnya, negeri yang mempunyai sumber seperti Sabah, Sarawak, Terengganu, Kedah Kelantan dan Pahang yang menjadi penyumbang sektor komoditi pertanian sumber tenaga dan mineral harus dilibatkan dalam diversifikasi eksport dan pembangunan industri hiliran.
“Kerajaan negeri perlu diberi maklumat awal dan terperinci dalam sebarang perubahan dasar tarif luar negara agar mereka, negeri-negeri ini boleh disusun semula insentif diperingkat negeri melaraskan respons pelaburan serta membantu industri tempatan menyesuaikan diri dengan landskap perdagangan lebih mencabar.
“Ada negeri sudah bergerak, Johor, Selangor Penang, negeri lain perlu menyusul,” kata Syahir.
Katanya lagi, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan penyelarasan strategi perdagangan yang diselaraskan Miti, dan dasar fiskal di bawah Kementerian Kewangan (MOF), perancangan ekonomi di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan diplomasi antarabangsa oleh Wisma Putra dan pengupayaan ekonomi negeri oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dapat diwujudkan secara bersepadu.
“Ini penting supaya kerjasama negeri dan Persekutuan berlaku atas prinsip kesaksamaan fiskal dan federalisme bersifat resiprokal,” katanya lagi. @politiko.my