
KUALA LUMPUR, 9 Mei 25 – Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengeluarkan satu senarai penarafan tahunan, supaya dapat mengetahui jabatan mana yang membelanjakan secara tepat dan tidak pandai mengurus.
Menurutnya, kerajaan perlu membina satu mekanisme kawalan yang kukuh bagi menangani budaya “pembelian panik hujung tahun” oleh jabatan-jabatan kerajaan, serta melaksanakan prinsip “perancangan rapi, perbelanjaan berhemah” secara tegas bagi membanteras pembaziran sumber dan mengekang amalan korupsi melalui perbelanjaan awam yang tidak wajar.
“Sejak dahulu Pakatan Harapan sering menekankan reformasi institusi, dan mungkin inilah waktu yang paling sesuai untuk melaksanakannya. Ini kerana fenomena ini bukan perkara baharu – ia berlaku setiap tahun tanpa gagal.
“Jika kerajaan tidak bertindak dan memandang serius isu ini serta tidak menghukum jabatan yang terlibat, ia akan terus menjadi barah yang berulang setiap tahun”. Katanya dalam kenyataan di laman facebook beliau.
Tambah beliau, sebagai ketua sesebuah jabatan, sama ada Menteri, Ketua Pengarah mahupun Ketua Setiausaha. mereka bertanggungjawab memastikan pengawasan yang tepat dan menghindari budaya pembaziran.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang naik dengan slogan reformasi, perlu sedar bahawa pembaziran juga adalah satu bentuk rasuah, manakala berjimat cermat adalah satu bentuk pencapaian. Ujarnya.
Dominic turut menegaskan bahawa pembaziran sumber membuktikan ketidakcekapan dalam perancangan bajet.
“Namun persoalannya, mengapa fenomena ini terus berlaku meskipun jelas bertentangan dengan harapan rakyat? Salah satu sebab utama adalah kerana pihak yang bertanggungjawab tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Kerajaan sering menyebut mengenai penggunaan data raya dan kecerdasan buatan – jadi mengapa teknologi seperti analitik data raya, AI dan automasi tidak digunakan untuk memantau secara langsung maklumat kewangan jabatan kerajaan?
“Jika terdapat tanda-tanda pembaziran, pihak berwajib boleh segera menghantar pasukan pemantau untuk menyiasat dan mengelakkan pembaziran daripada berlaku. Tegasnya. @politiko.my