Di Mana Kerajaan Belanja Dana 1Mdb Yang Diperolehi Semula? Soal Gerakan

KUALA LUMPUR, 20 MEI 25 – Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan ke manakah dana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diperolehi semula oleh kerajaan.

Dominic berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 Mac lalu menyatakan kerajaan telah berjaya mendapatkan semula aset berkaitan  berjumlah lebih RM29.752 bilion, iaitu sebanyak 70% daripada jumlah keseluruhan penyelewengan yang dianggarkan bernilai RM42 bilion.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berjanji bahawa wang yang dipulangkan akan digunakan untuk kebajikan rakyat, maka kerajaan wajar menjelaskan ke mana aset itu telah dibelanjakan.

“SPRM menyatakan secara terperinci bahawa sejumlah besar aset telah dikembalikan, termasuk lebih RM14 juta dalam bentuk mata wang asing. Demi prinsip keadilan dan ketelusan, rakyat berhak tahu ke mana perginya wang tersebut,” katanya, dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan Anwar yang mengakui wujud kuasa-kuasa tertentu yang tidak mahu pelarian skandal 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low, dibawa pulang ke Malaysia atas alasan bimbang lebih banyak rahsia dalaman terbongkar.

“Maka, apakah kerajaan kini tunduk kepada tekanan kuasa-kuasa tertentu dan tidak berani bertindak tegas?

“Kerajaan ini naik atas nama reformasi, maka jangan sesekali mempermainkan harapan rakyat dengan alasan dan kenyataan yang kabur,” tegasnya.

Beliau mendakwa, sejak pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar mengambil alih kuasa, pelbagai kes melibatkan pegawai tinggi serta pemimpin politik dilihat berakhir dengan pembebasan secara mengejut tanpa sebarang hukuman.

Selain itu, Dominic mendakwa wujud unsur pilih kasih yang jelas dalam proses siasatan serta pendakwaan terhadap pemimpin politik tertentu.

Perkara itu katanya cukup untuk menimbulkan keraguan rakyat terhadap ketelusan sistem pendakwaan negara.

“Tindakan ini membuktikan bahawa Anwar hanya menggunakan agenda anti-rasuah sebagai alat untuk menekan musuh politik dan menuntut kesetiaan mutlak terhadap dirinya,” katanya.

Sehubungan itu, Dominic mengingatkan Anwar agar tidak memperalatkan moral rakyat semata-mata bagi menutup kegagalan beliau dalam menunaikan janji reformasi untuk membanteras rasuah dan mendakwa golongan yang terlibat dalam penyelewengan.@politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share