
KUALA LUMPUR, 10 NOV 25 – Wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin memberi amaran bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat baru-baru ini berpotensi menjadikan Malaysia sebagai “negara lindungan” atau vassal state kepada kuasa besar ekonomi itu.
Menurutnya, langkah kerajaan menandatangani perjanjian tersebut pada 26 Oktober lalu disifatkan sebagai tindakan “tergesa-gesa tunduk kepada tekanan” daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, yang ketika ini berdepan tekanan ekonomi domestik akibat dasar tarifnya sendiri.
“Maaf cakaplah kalau saya kata, gabungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan Anwar Ibrahim, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz telah terlalu tergesa-gesa tunduk kepada ancaman Trump,” katanya.
Kadir mendakwa dasar ekonomi Trump bertujuan memindahkan beban ekonomi Amerika yang tidak produktif kepada negara lain, dengan mengenakan tarif import tinggi ke atas lebih 100 negara.
Langkah itu, katanya, menyebabkan harga barang di Amerika meningkat, pengguna tertekan, dan sektor pertanian negara itu terjejas kerana eksportnya merosot.
“Amerika berbelanja lebih banyak daripada yang dihasilkan. Ia import lebih banyak daripada eksport. Untuk menutup jurang ini, Trump kenakan tarif tinggi dan akhirnya rakyatnya sendiri menanggung akibat,” katanya.
Beliau memetik laporan firma perunding guaman antarabangsa Hogan Lovells yang menyatakan bahawa petani dan pengguna Amerika merupakan pihak paling terkesan dengan dasar tarif tersebut.
Tambahan pula, beberapa ahli Kongres dan hakim Mahkamah Agung AS turut mempertikaikan kesahihan undang-undang terhadap arahan tarif berkenaan.
“Bukan Kongres saja bangkang, malah hakim Mahkamah Agung pun mempersoalkan perintah Trump itu. Sekarang beliau takut, kerana jika dibatalkan, Amerika perlu bayar balik trilion dolar,” katanya.
Mengulas reaksi antarabangsa terhadap langkah Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan baharu dengan AS, Kadir berkata, media dan penganalisis luar turut menegur kerajaan Malaysia kerana dianggap terlalu cepat tunduk kepada Washington.
Beliau memetik tulisan Alan Beattie, Pengarang Perdagangan akhbar Financial Times di London, yang memberi amaran bahawa perjanjian itu boleh menjadikan Malaysia sebagai “negara lindungan moden” Amerika Syarikat — di mana bentuk penghantaran ufti dahulu kala kini diganti dengan kawalan terhadap sumber nadir bumi.
“Kalau zaman dulu kena hantar wang emas, sekarang elemen nadir bumi,” kata Kadir sinis.
Beliau turut memberi amaran bahawa hubungan Malaysia yang kini kelihatan condong ke arah Amerika Syarikat mungkin mengundang reaksi balas daripada China.
“Bala ke atas negara kita mungkin belum berakhir. Setelah melihat Anwar menari dengan Trump, takkan China akan berdiam diri?” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.