
KUALA LUMPUR, 27 Mei 25 – PAS menggesa program rasionalisasi subsidi RON95 yang bakal dilaksanakan suku kedua tahun ini ditangguhkan sehingga takrifan sebenar kumpulan T20 yang dikecualikan subsidi dapat dikenalpasti.
Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari berkata, pengumuman Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bahawa rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini sebagai amat mengecewakan kerana rakyat masih lagi terhimpit dengan kenaikan tarif elektrik dan air.
“Ketika rakyat masih terhuyung-hayang dengan kenaikan tarif elektrik dan air, kerajaan nampaknya tidak sabar-sabar mahu mencabut satu lagi saki-baki bantuan yang tinggal untuk orang ramai bertahan.
“Lebih menjengkelkan, sehingga ke hari ini, kerajaan sendiri pun masih kabur siapa sebenarnya golongan T20 yang dikatakan tidak layak menerima subsidi,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, pembangkang tidak menolak proses rasionalisasi subsidi berkenaan, namun menjelaskan ia tidak boleh dilakukan secara “semberono.”
“Akhirnya, siapa sebenarnya T20? Adakah satu keluarga empat orang di bandar yang gajinya RM11,000 tapi menyewa rumah pun dianggap T20?” katanya.
Bagaimanapun kerajaan katanya sehingga hari ini tidak mempunyai mekanisme terperinci bagi memastikan subsidi yang disasarkan itu benar-benar sampai kepada golongan yang layak.
“Jika definisi pun tidak jelas, bagaimana pula mahu melaksanakannya dengan adil dan cekap?
“Kita (PAS) bukan antireformasi, tapi kita anti kepada reformasi semberono yang meletakkan rakyat sebagai mangsa uji kaji dasar ekonomi.
“Kerajaan mesti tangguhkan dahulu rasionalisasi subsidi RON95 ini. Selesaikan dulu isu tarif,” katanya lagi. @politiko.my