CheguBard Tunjuk Bukti Akar Umbi Umno ‘Jijik’ Kerjasama PH-BN

KUALA LUMPUR, 27 Mei 25 – Akar umbi Umno didakwa mulai ‘jijik’ dengan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa Badrul Hisham Shaharin.

Ketua bahagian Bersatu Port Dickson mendakwa, rakaman-rakaman mesyuarat cawangan Umno jelas menunjukkan ahli akar umbi parti Melayu itu tidak selesa dengan kerjasama tersebut, melalui satu hantaran video di Facebook menggunakan nama CheguBard.

“Sebenarnya itulah mood dalam Umno hari ini, contohnya video bawah ucapan Ketua Cawangan Umno Sri Krubong, Melaka. Dalam ucapannya Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli dihina. Begitu juga Adam Adli,” katanya, dalam hantaran tersebut.

Hantaran itu mengandungi video rakaman ucapan didakwa Ketua Cawangan Umno Muara Sri Krubong Ali Mohamad mengatakan tidak sanggup untuk bersama PH.

“Kita tak sanggup jadi sebahagian mereka kita mahu melebihi daripada mereka seperti sebelum ini, saya harap benda ini dapat di bawa ke peringkat lebih atas, kita Umno Cawangan Muara Sri Kerubong berkehendakkan macam itu.

“Kita nak jadi kerajaan betul-betul memerintah bukan pak sanggup kepada kerajaan hari ini,” katanya, dan menerima tepukan gemuruh ahli yang hadir,” memetik rakaman video itu.

Rakaman itu menunjukkan Timbalan Presdien Nurul Izzah Anwar, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli dikritik  

“Mereka ini kita tak suka, mereka bukan pemimpin, mereka perosak generasi kita dahulu bagaimana anak muda kita rosak, apa nak jadi dengan negara kita, kita jadi bangsat, Umno melutut kepada mereka ini kita jadi bangsat,” katanya.

Rakaman itu bagaimanapun tidak mengkritik kepimpinan Umno seperti Presdien Datuk Seri Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Hasan.

“Kita wajar buka mata semula, kita tak salahkan Zahid, Mat Hasan, tapi PRU 16 kita tak boleh main-main macam ini lagi,” katanya.

Sebelum ini, timbul cadangan agar Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diberikan masing-masing 14 kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee bagaimanapun berkata itu hanyalah usul yang dibincangkan dan diluluskan pada peringkat cawangan sahaja, bukannya di peringkat negeri.

Ketika ini BN mendominasi DUN Melaka dengan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menolak cadangan tersebut. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share