
KUALA LUMPUR, 5 Jun 25 — Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung laporan cadangan Petronas untuk menjual syarikat gas asli miliknya di Kanada, Progress Energy.
Beliau mempersoalkan sama ada langkah tersebut bertujuan untuk mendapatkan dana segera bagi menampung keperluan kewangan kerajaan, dan menekankan keputusan seperti itu perlu mendapat perhatian serius kerana membabitkan kepentingan ekonomi dan strategik negara.
“Petronas ialah institusi ekonomi penting negara. Sebarang keputusan untuk menjual asetnya melibatkan kepentingan awam dan masa depan negara.
“Progress Energy merupakan aset strategik di Kanada, sebuah negara dengan salah satu simpanan minyak dan gas terbesar di dunia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dominic menyifatkan tindakan menjual aset yang berpotensi tinggi untuk berkembang dan menjana keuntungan sebagai suatu langkah yang boleh melemahkan kedudukan Petronas sebagai pemain utama dalam industri gas asli cecair (LNG) global.
Beliau turut menggesa kerajaan bertindak berhati-hati serta memberikan maklumat terperinci kepada rakyat.
“Benar atau tidak laporan Bloomberg itu, kerajaan tetap perlu memberi penjelasan. Gerakan mempersoalkan sama ada kerajaan benar-benar berharap agar langkah ini tidak akan menjejaskan penarafan Petronas. Sepatutnya kerajaan menyokong usaha Petronas untuk memperkukuh kedudukannya, bukan melemahkannya,” ujar beliau.
Meskipun penjualan Progress Energy masih di peringkat perbincangan, Gerakan menegaskan kerajaan tidak boleh berdiam diri kerana ia melibatkan sumber gas asli sebanyak kira-kira 53 trilion kaki padu (tcf), yang boleh menjana pendapatan jangka panjang selama beberapa dekad.
Dominic turut berkata, sejak 2023, Petronas telah menjual beberapa aset utama termasuk keseluruhan 74% pegangan dalam syarikat Engen di Afrika Selatan dan 50% kepentingan dalam ladang minyak Vaca Muerta di Argentina pada April lalu.
“Apakah aset lain yang akan dijual selepas ini? Mengapa kerajaan tidak memperluaskan operasi antarabangsa Petronas, tetapi sebaliknya terus menjualnya satu demi satu?
“Yang lebih membimbangkan, mengapa semua urus niaga ini dilakukan secara senyap tanpa perbincangan terbuka dengan rakyat?” soalnya. @politiko.my