Rakyat, Peniaga Kecil Tanggung Beban Kenaikan Tarif Elektrik, Kata PAS

KUALA LUMPUR, 22 Jun 2025 — Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyelar keputusan kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik bermula 1 Jul depan, dengan menyifatkannya sebagai satu lagi beban yang tidak adil ke atas rakyat dan peniaga kecil ketika kos sara hidup semakin meningkat.

Fadhli menyuarakan kebimbangannya,  tentang struktur tarif elektrik baharu yang diumumkan untuk Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Jul 2025 hingga 31 Dis 2027 yang menurutnya akan memberi kesan langsung kepada pengguna domestik dan perusahaan kecil yang tidak mempunyai keupayaan kewangan besar.

“Pengguna domestik yang menggunakan lebih 1500 kWj kini dikenakan caj tenaga sebanyak 37.03 sen/kWj, iaitu peningkatan hampir 37% berbanding kadar sebelum ini.

“Ini bukan lonjakan kecil, lebih-lebih lagi bagi keluarga sederhana yang hanya menggunakan elektrik untuk keperluan asas seperti peti ais dan lampu rumah,” katanya, dalam satu kenyataan.

Kerajaan turut memperkenalkan caj peruncitan RM10 sebulan bagi pengguna domestik, kecuali mereka yang menggunakan kurang daripada 600 kWj.

Namun Fadhli menegaskan, amat sedikit isi rumah yang mampu kekal dalam julat itu, terutamanya dengan cuaca panas dan keperluan elektrik yang meningkat.

Manakala bagi golongan peniaga kecil dan perusahaan mikro dalam kategori Voltan Rendah Am, mereka berdepan caj efektif melebihi 50 sen/kWj apabila caj tenaga, kapasiti dan rangkaian digabungkan. Caj peruncitan untuk golongan ini pula ditetapkan pada RM20 sebulan.

“Usahawan kecil yang sudah sedia bergelut dengan harga bahan mentah dan permintaan yang perlahan, kini perlu pula menghadapi kos elektrik yang meningkat. Ini sangat menekan,” kata Fadhli lagi.

Lebih membimbangkan, katanya, ialah kadar caj yang lebih rendah yang dikenakan ke atas industri besar di bawah kategori Voltan Tinggi.

Fadhli mempersoalkan keadilan apabila pengguna industri besar menikmati caj kapasiti dan rangkaian yang lebih rendah berbanding pengguna kecil dan sederhana.

“Kerajaan perlu menjelaskan secara terbuka dan telus jika ada justifikasi teknikal di sebalik ketidakseimbangan ini,” katanya.

Pengumuman tarif baharu itu juga katanya tidak sesuai memandangkan ianya berlaku serentak dengan kenaikan cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), caj pelabuhan, serta pengumuman berhubung pengapungan harga RON95.

Beliau berkata gabungan semua dasar ini berisiko mencetuskan kesan berangkai yang akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

“Akhirnya rakyat bukan hanya membayar bil elektrik lebih mahal, tetapi juga menanggung harga makanan, minuman dan sewa yang meningkat,” tegas Fadhli lagi.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap ketiadaan penjelasan awam atau kajian impak yang diumumkan oleh kerajaan berkaitan perubahan tarif tersebut yang mana mencerminkan kelemahan ketara dalam merancang dasar ekonomi negara secara holistik.

“Langkah ini menimbulkan persepsi bahawa kerajaan lebih mudah menambah hasil dengan memerah pengguna, berbanding memperbaiki struktur ekonomi secara menyeluruh,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share