
KUALA LUMPUR, 1 Jul 25 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat memperkecilkan kebimbangan rakyat dan mahasiswa berhubung peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menurutnya, kebimbangan yang disuarakan golongan itu adalah isu pokok yang memberi kesan menyeluruh terhadap kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat termasuk mahasiswa.
“Saya kesal dengan komen Perdana Menteri (PMX) berhubung kesan kenaikan tarif elektrik dan peluasan SST terhadap mahasiswa, iaitu seperti yang diluahkan oleh sekumpulan mahasiswa baru-baru ini.
“Komen PMX seolah-olah memperkecilkan kebimbangan sebenar rakyat dan mahasiswa.
“Isu pokok yang jauh lebih besar ialah kesan menyeluruh terhadap kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat termasuk mahasiswa sebelum pun tarif elektrik dan cukai SST dinaikkan. Apatah lagi selepas pelaksanaan ini, keadaan dijangka menjadi lebih membebankan. Katanya.
Saifuddin yang juga Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN) juga berkata, kesan kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan rantaian (supply chain) kepada banyak sektor dimana kos operasi akan meningkat secara keseluruhan.
“Kita perlu melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan rantaian (supply chain) kepada banyak sektor. Harga makanan dan barangan asas di kampus-kampus dijangka meningkat apabila kos operasi pembekal turut meningkat.
“Mahasiswa adalah antara golongan yang paling terkesan kerana mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada pinjaman atau bantuan.
Beliau turut mengingkatkan Perdana Menteri bahawa ketika ini ramai mahasiswa kini tidak lagi menetap di kolej-kolej kediaman dalam kampus sebaliknya tinggal diluar dan perlu menanggung kos sewa.
“Perlu diingat juga, ramai mahasiswa kini tidak lagi menetap di kolej-kolej kediaman dalam kampus. Mereka tinggal di luar dan perlu menanggung kos sewa, pengangkutan dan utiliti secara langsung.
“Maka, implikasi kenaikan-kenaikan ini terhadap mereka amat nyata dan tidak wajar disangkal.
Saifuddin turut menyeru kerajaan agar mengambil serius bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat, khususnya mahasiswa, dan tidak memperlekehkan suara serta kebimbangan mereka.
Peluasan SST telah bermula hari ini 1 Julai dimana ia akan meliputi kos berkaitan perbankan dan juga semua perkhhidmatan dan jualan barangan import. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.