
KUALA LUMPUR, 9 Jul 25 – Majlis Peguam akan menganjurkan perarakan dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi mempertahankan kebebasan institusi badan kehakiman negara.
Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, perarakan yang bertemakan “Membela Kebebasan Kehakiman” dijadual berlangsung Isnin, 14 Jul depan itu akan menyerahkan memorandum menuntut tindakan segera kerajaan berhubung perkara itu.
Katanya, ia adalah manifestasi kebimbangan kumpulan peguam terhadap kekosongan jawatan utama kehakiman, kelewatan pelantikan, serta dakwaan gangguan dalam urusan pelantikan dan keputusan kehakiman.
“Institusi kehakiman mesti dipertahankan. Perarakan ini bukan sekadar simbolik, ia menunjukkan iltizam Majlis Peguam terhadap integriti dan kebebasan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara tuntutan mereka dalam memorandum tersebut termasuklah pelantikan segera jawatan tertinggi kehakiman dengan individu yang mempunyai integriti, pengalaman dan rekod penghakiman cemerlang serta dihormati oleh komuniti kehakiman dan rakyat.
Majlis Peguam turut menuntut pendedahan serta-merta minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan siasatan segera terhadap dakwaan campur tangan yang telah dilaporkan media dan disebut dalam kenyataan Majlis Peguam pada 25 Jun lalu.
Mereka juga menuntut pengisian segera kekosongan jawatan hakim yang telah mengakibatkan beberapa kes hanya dijadualkan untuk perbicaraan pada tahun 2030, yang mana situasi yang disifatkan sebagai penafian keadilan serta petanda krisis sistem kehakiman negara.
Perarakan itu dijangka bermula pukul 2 petang, bermula di pintu masuk utama Istana Kehakiman berhadapan bangunan Perbadanan Putrajaya, dengan destinasi akhir mereka di PMO.
Peserta juga katanya digalakkan hadir dalam pakaian rasmi guaman. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.