
KUALA LUMPUR, 20 Jul 25 – Hanya sokongan Ahli Parlimen yang berupaya menentukan kedudukan jawatan seseorang perdana menteri, bukannya demonstrasi atau himpunan besar-besaran, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.
Selagi majoriti Ahli Parlimen menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau akan kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal, katanya.
“Kesimpulannya, segala perhimpunan, tunjuk perasaan dan perarakan tidak akan menjatuhkan Anwar selagi majoriti Ahli Dewan Rakyat menyokong beliau.
“Tetapi kalau perhimpunan, tunjuk perasaan dan perarakan itu menyebabkan penyokong beliau di Parlimen berpaling tadah, kemungkinan beliau hilang majoriti dan terpaksa meletakkan jawatan tidak boleh ditolak bulat-bulat,” katanya, dalam hantaran media sosial.
Kadir berkata, jelajah “Turun Anwar” dijadual hujung minggu depan lebih relevan kepada penentang-penentangnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang wajib diadakan sebelum 17 Feb 2028.
“Kempen ‘Turun Anwar’ yang sedang berjalan sekarang, dengan sendirinya, tidak akan menjatuhkan Anwar. Beliau pun sudah kata, beliau tidak akan turun sebab beliau tidak curi duit rakyat.
“Sehingga PRU diadakan, hanya ada satu cara menurunkan beliau iaitu dengan menghapuskan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat kepadanya,” katanya.
Kecuali, kata Kadir sekiranya terdapat mana-mana pihak boleh membuktikan secara sahih yang mereka mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 112 orang Ahli Dewan Rakyat maka Anwar perlu turun jawatan, seperti dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Bersatu berpaling tadah daripada kerajaan Pakatan Harapan.
“Natijahnya, menaikkan dan menjatuhkan Perdana Menteri tanpa melalui proses pilihan raya bukanlah perkara luar biasa.
“Tetapi kalau betullah cakap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hendak jatuhkan Anwar melalui undi Dewan Rakyat adalah sukar, kalau pun tidak mustahil.
“Presiden Umno itu dilaporkan berkata pada 13 Julai, Anwar mempunyai 154 sokongan ahli dewan,” tambah Kadir. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.