
KUALA LUMPUR, 30 Jul 25 – Kerajaan disaran merangka dasar konservatif kekeluargaan demi memupuk kesejahteraan dalam komuniti susulan Malaysia kini menuju era negara menua, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata mekanisme untuk menggalakkan penglibatan komuniti, jiran serta saudara mara dalam memastikan kebajikan golongan warga emas yang hidup bersendirian sentiasa terjaga perlu dirangka kerajaan.
“Sudah sampai masanya kerajaan merangka dasar yang tepat berteraskan nilai-nilai konservatif demi kesejahteraan jangka panjang warga emas dalam masyarakat Malaysia yang semakin menua,” katanya.
Ketika mengulas jawapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Noraini Ahmad kepada soalan beliau, Wan Saiful berkata, dasar masyarakat menua yang baik mestilah berteraskan nilai-nilai konservatif yang mempertahan dan menjuarai institusi keluarga dan institusi kemasyarakatan.
Jelasnya, semua dasar-dasar kerajaan mestilah menuju ke arah pengukuhan peranan keluarga dan komuniti dalam penjagaan warga emas yang yang perlu dibantu.
Nilai-nilai konservatif katanya jauh lebih baik untuk pengukuhan institusi keluarga dan kemasyarakatan dan inilah yang diperlukan oleh Malaysia hari ini.
Sehubungan itu katanya, insentif perlu diberikan seperti peruntukan kewangan dan insentif potongan cukai bagi mereka yang mengambil tanggungjawab untuk membantu warga emas yang bersendirian, termasuklah pertubuhan kebajikan, kelab komuniti, pertubuhan keagamaan, ahli keluarga atau orang perseorangan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, di kawasannya di Tasek Gelugor, beliau sering menziarahi kelompok warga emas yang hidup bersendirian dengan hanya dibantu oleh rakan dan jiran.
“Malangnya khidmat bakti mereka yang membantu ini tidak diiktiraf dan mereka tidak mendapat apa-apa sokongan daripada kerajaan.
“Tanpa pengiktirafan atau sokongan, berapa lama lah sangat mereka boleh terus menabur khidmat bakti?,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.