Tarif AS: Zafrul Nafi Dakwaan Tun M

KUALA LUMPUR, 8 OGOS 25 – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan dakwaan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perjanjian perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS).

Tengku Zafrul menegaskan, Dr Mahathir membuat kenyataan yang bukan salah tidak tepat tetapi turut mengelirukan.

Jelasnya, keputusan kerajaan adalah berdasarkan pengurusan krisis yang bertanggungjawab dan bertujuan melindungi kepentingan ekonomi negara, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang lebih RM198 bilion dalam eksport dan menyokong lebih 100,000 pekerjaan.

“Ini bukan soal ‘gembira’, Tun, tetapi soal menyelamatkan periuk nasi rakyat Malaysia.

“Kita berjaya mendapatkan kadar tarif 19% yang sama seperti rakan-rakan Asean lain, dengan keutamaan kepada kestabilan ekonomi,” katanya, dalam kenyataan.

Sebelum itu, Dr Mahathir mengkritik keputusan kerajaan menerima pengurangan tarif AS daripada 25%  kepada 19%, mendakwa Malaysia telah memansuhkan semua cukai ke atas 11,000 produk dari AS sebagai balasan.

Negarawan itu turut mendakwa Malaysia bersetuju untuk membekalkan unsur nadir bumi (REE) kepada AS, dan menyifatkan perjanjian itu sebagai tidak menguntungkan serta merugikan ekonomi negara.

“Malaysia memansuhkan semua cukai ke atas 11,000 produk dari AS, sedangkan AS hanya mengurangkan tarif sebanyak 6%. Ini bukan perjanjian yang baik,” kata Dr Mahathir.

Tengku Zafrul sebaliknya menjelaskan hanya 60.4% baris tarif diberikan status duti sifar, bukan 100% seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir.

“100% dan 60% itu sangat berbeza. Tuduhan tersebut jelas tidak benar,” katanya.

Berkaitan isu nadir bumi, Tengku Zafrul menegaskan tiada sebarang perjanjian, sama ada secara lisan atau bertulis untuk Malaysia membekalkan REE kepada AS atau mana-mana negara lain.

Beliau mengulangi kenyataan sebelum ini kerajaan telah menguatkuasakan larangan eksport bahan mentah nadir bumi berkuat kuasa 1 Jan 2024, hasil keputusan Jemaah Menteri.

“Dasar ini jelas, nadir bumi mesti diproses dalam negara bagi memaksimumkan nilai kepada ekonomi negara,” katanya.

Industri itu katanya dijangka menyumbang sehingga RM9.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir 2025 dan mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Tengku Zafrul sehubungan itu menyeru agar Dr Mahathir menyemak fakta sebelum membuat kenyataan awam, sambil menegaskan kritikan yang membina mestilah berasaskan maklumat yang tepat.

“Tak salah untuk mengkritik, tapi bila kritikan itu berlandaskan kepada tuduhan palsu, itu salah!” tegasnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share