
KUALA LUMPUR | 22 Sap 26 – Kenyataan terbaru Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menimbulkan persoalan terhadap proses penyelarasan syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS).
Dalam kenyataan hari ini, MITI menegaskan bahawa kementerian itu tidak mempunyai makluman mengenai perkara berkenaan, selain menjelaskan bahawa dasar pemilikan ekuiti Bumiputera sebenarnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi (EPU).
Penjelasan itu menjadi lebih menarik apabila Kementerian Pendidikan (KPM), dalam kenyataan sehari sebelumnya, menyatakan bahawa keputusan untuk tidak lagi menetapkan syarat minimum 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat yang mengendalikan IPS dibuat susulan sesi perbincangan dengan MITI.
Dengan kata lain, KPM menyebut ada perbincangan dengan MITI, tetapi MITI kini menjelaskan mereka tidak mempunyai makluman mengenai perkara itu.
Lebih penting, MITI turut memperbetulkan kedudukannya dalam isu berkenaan dengan menjelaskan bahawa dasar pemilikan ekuiti Bumiputera bukan di bawah bidang kuasa MITI, sebaliknya EPU.
“Pihak Kementerian tidak mempunyai makluman mengenai perkara ini,” kata MITI dalam kenyataan bertarikh 22 September 2026.
MITI berkata penjelasan itu dibuat bagi memperbetulkan peranan kementerian berkenaan supaya maklumat yang disampaikan kepada orang awam adalah tepat dan jelas.
Kontroversi ini bermula selepas KPM mengumumkan bahawa syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi dikenakan kepada syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah KPM. Syarat tersebut sebelum ini dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.