
KUALA LUMPUR, 9 Ogos 25 – Kumpulan pertubuhan sivil (CSO) dan organisasi kemanusiaan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk segera mengadakan sidang tergempar untuk menyiasat dan mendokumentasi kemusnahan alam sekitar sistematik di Gaza.
Dalam satu kenyataan, wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), M.S. Anuar Mahmod berkata, apa yang berlaku di Gaza bukan sekadar bencana kemanusiaan sebaliknya ia adalah serangan ekologi yang disengajakan dan berskala besar.
“Kemusnahan ini memenuhi ciri-ciri ecocide: pemusnahan ekosistem dengan pengetahuan penuh bahawa kesannya adalah kekal, merosakkan dan tidak dapat dipulihkan.
“90% air di Gaza kini tidak selamat diminum. Pengeboman telah memusnahkan sistem kumbahan dan rawatan air, memaksa najis mengalir ke laut dan mencemarkan satu-satunya akuifer yang masih tinggal, sekali gus mengancam kesihatan awam. Katanya.
Selain daripada itu, kumpulan ini juga menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memulakan prosiding terhadap jenayah ecocide yang disengajakan, dan membawa pelaku ke muka pengadilan tanpa kompromi.
“Gencatan senjata penuh dikuatkuasakan serta-merta, dan sempadan Gaza dibuka, bagi menghentikan kemusnahan lanjut serta membolehkan bantuan kemanusiaan dan pasukan teknikal alam sekitar memasuki wilayah ini tanpa sekatan. Tegasnya.
Ketika ini situasi di Gaza semakin meruncing, berdasarkan laporan semasa Gaza kini menghadapi ambang kebuluran yang membimbangkan di mana harga makanan meningkat sehingga 1,400%, dan beratus individu telah meninggal dunia akibat kelaparan
PBB melaporkan jutaan rakyat di Gaza kini bergelut dengan kekurangan air bersih, sistem sanitasi rosak, bekalan elektrik dan fasiliti perubatan runtuh.
Kenyataan ini turut disepakati oleh beberapa lagi pertubuhan kemanusiaan yang lain antaranya – Citizens International (CI), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Yayasan Nurul Islam (YI), MARHAEN Penang, Pertubuhan Pendidikan Terbang Tinggi Malaysia (TERBANG TINGGI), BINTANG Academy, Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), RURAL Malaysia – Persatuan Pengguna Luar Bandar & Ekologi Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Aman Patani Malaysia (AMANI Malaysia), AMAL Relief Malaysia (Pulau Pinang), TERAS Pengupayaan Melayu, OWL Zero Waste Store, Center for Peace, Penang, Palestine Solidarity, Penang, Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH), Pertubuhan WANITA PRIHATIN Pulau Pinang, Persatuan Penduduk Tanjong Bunga, Pulau Pinang, Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.