
Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, menjadi antara isu paling hangat dibincangkan rakyat sejak beberapa minggu lalu.
Insiden tragis ini mengundang persoalan besar mengenai keselamatan pelajar, keberkesanan pentadbiran sekolah, serta ketelusan siasatan pihak berkuasa.
APa yang kita patut tahu – Berdasarkan kronologi yang dilaporkan media, pada 16 Julai 2025, sekitar jam 3 pagi, Zara ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama perempuan, dipercayai jatuh dari tingkat tiga.
Menurut laporan, tiada saksi atau rakaman CCTV. Beberapa jam kemudian, dia dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I dalam keadaan koma dengan kecederaan parah.
Dan pada 17 Julai, mangsa disahkan meninggal dunia selepas bantuan hayat dihentikan. Jenazah dikebumikan tanpa bedah siasat.
Manakala pada 18 Julai berita kematian mula tular di media sosial, disertai spekulasi terdapat unsur buli ke atas mangsa.
Dari senario itu, antara 20–31 Julai, keluarga Zara membuat laporan tambahan, mendakwa pihak sekolah cuba menutup maklumat. Polis memanggil lebih 60 saksi, namun tiada keputusan rasmi dari siasatan itu.
Kemudian pada awal bulan ini, keluarga menerusi peguamnya menuntut penggalian semula kubur selepas mendakwa terdapat kesan lebam pada tubuh Zara. Beberapa NGO dan wakil rakyat turut membuat tuntutan yang sama.
Dalam tempoh ini juga, ribuat rakyat berhimpun bersolidariti ke atas Zara dan menuntut bedah siasat dijalankan untuk memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga.
Pada 9 Ogos, atas arahan Pejabat Peguam Negara (AG), kubur Zara digali semula dan jasad dibawa ke hospital untuk pemeriksaan forensik.
Bedah siasat dijalankan selama hampir lapan jam sebelum jenazah dikebumikan semula sehari selepas digali.. Himpunan solidariti rakyat berlangsung di beberapa lokasi di Sabah.
Perkara yang menjadi isu dalam tragedi ini apabila banyak pihak mempersoalkan tiadanya bedah siasat ke atas mangsa sebelum di kebumikan.
Prosedur forensik standard tidak dilakukan pada awalnya walaupun kematian berlaku dalam keadaan mencurigakan.
Persoalan tentang ketiadaan rakaman visual (CCTV) di kawasan asrama yang dapat membantu menentukan punca kejadian, juga menjadi persoalan rakyat.
Dari senario ini, timbul pula persoalan integriti pihak sekolah, dimana persepsi masyarakat mempersoalkan tanggungjawab pentadbiran sekolah dalam melindungi pelajar.
Ketika ini, keputusan bedah siasat yang baru dijalankan menjadi penentu utama hala tuju kes ini. Kegagalan memberikan jawapan yang jelas, berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem pendidikan, keselamatan pelajar berasrama, dan integriti institusi penguatkuasaan.
Kes Zara bukan sekadar tragedi peribadi keluarga sebaliknya ia kini menjadi ujian besar terhadap ketelusan sistem keadilan di Malaysia.
Dalam pada itu, kita juga sentiasa diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas. Apa-apa komentar mengenai kes ini harus bersandarkan fakta yang dilaporkan. Bukan membuat andaian yang boleh menggangu proses siasatan. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.