Perikatan Nasional (PN) kini berdepan persoalan besar mengenai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam gabungan itu.
Selepas beberapa siri krisis politik dan organisasi, Bersatu bukan sahaja dilihat gagal mengukuhkan PN, malah semakin menjadi liabiliti yang menjejaskan kredibiliti gabungan pembangkang tersebut.
Kemuncak kelemahan itu terserlah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila BERSATU tewas di negeri kelahiran presidennya sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Lebih memalukan, semua calon Bersatu yang bertanding bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi, malah hilang deposit.
Keputusan itu memberi isyarat jelas bahawa sokongan akar umbi terhadap parti tersebut semakin merosot, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada BERSATU masih mampu menjadi tonggak utama PN.
Dalam tempoh kempen pula, tumpuan bukan sekadar diberikan kepada serangan terhadap kerajaan, sebaliknya timbul pertikaian terbuka daripada pimpinan BERSATU yang dilihat menyasarkan PAS, termasuk mempertikaikan peranan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Samsuri Mokhtar.
Tindakan itu menimbulkan persepsi bahawa BERSATU lebih sibuk berkonflik dengan rakan gabungan sendiri berbanding membina kesepaduan menghadapi lawan politik.
Di peringkat dalaman, krisis BERSATU juga semakin meruncing. Isu kesahan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang didakwa gagal mencapai kuorum kini menjadi pertikaian sehingga dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Pada masa sama, parti itu turut berdepan gelombang peletakan jawatan dan tindakan keluar parti membabitkan pemimpin kanan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Ahli Dewan Undangan Negeri serta pimpinan bahagian di beberapa negeri.
Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kepimpinan BERSATU masih mempunyai mandat dan keupayaan untuk mentadbir parti dengan berkesan.
Lebih membimbangkan, hubungan antara PAS dan BERSATU juga dilihat semakin retak. Siri kenyataan terbuka, pertikaman lidah serta perbezaan pendirian antara kedua-dua parti memberi gambaran bahawa kerjasama yang pernah menjadi tunjang PN semakin sukar dipertahankan.
Sekiranya hubungan itu terus merosot, asas kekuatan gabungan berkenaan turut berisiko terjejas.
Dalam keadaan ini, persoalan yang semakin kuat diperkatakan ialah sama ada BERSATU masih menjadi aset kepada Perikatan Nasional atau telah bertukar menjadi beban politik yang menghakis keyakinan rakyat terhadap gabungan tersebut.
Tanpa penyelesaian segera terhadap krisis kepimpinan, prestasi pilihan raya dan hubungan dengan rakan gabungan, kedudukan BERSATU dalam PN dijangka terus menjadi tanda tanya menjelang pilihan raya akan datang. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.