
KUALA LUMPUR, 14 Ogos 25 – PAS sekali lagi secara tersirat menamakan calon Perdana Menteri tanpa menyebut nama Muhyiddin Yassin, sebaliknya menamakan lima pemimpin lain sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU16.
Ketika mengulas perkara tersebut dalam Podcast Harakah Daily Dari Jalan Pahang, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Afnan Hamimi Taib Azamudden menamakan Presiden PAS Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua naib presiden iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar serta Idris Ahmad sebagai calon yang berpotensi daripada PAS, sekiranya pembangkang menang PRU akan datang.
Hamzah, Timbalan Presiden Bersatu turut dinamakan sebagai satu-satunya calon perdana menteri dari parti Bersatu, yang dianggap berpotensi yang mewakili PN kerana mengambil kira kedudukannya sebagai ketua pembangkang.
“Kalau tanya saya, PAS lah sebab paling ramai Ahli Parlimen tetapi kalau tanya kepada PN saya kata ketua pembangkang, Hamzah.
Mutakhir ini, isu calon perdana menteri atau ‘poster boy’ bagi PN pada PRU16 sering dibangkitkan samada dari pihak lawan, pimpinan akar umbi dan masyarakat.
Julai lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin juga secara tersirat berkata parti itu mempunyai beberapa pemimpin yang layak dicalonkan sebagai perdana menteri mewakili Perikatan Nasional (PN) sekiranya pembangkang berjaya memerintah.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengambil sikap yang sama ketika mengulas isu ini apabila dia tidak membayangkan Muhyiddin sebagai calon PM bagi PN.
Mengulas lanjut, Afnan berkata cabaran besar menanti PN sebenarnya untuk membentuk pasukan yang kuat bagi mentadbir apabila menang pilihan raya. Podcast tersebut boleh di tonton di HARAKAHDAILY. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.