
KUALA LUMPUR, 1 Ogos 25 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa berhenti daripada terus membuat gesaan terbuka berkaitan isu kekayaan anak-anak Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi status Facebook, Shahbudin Husin yang juga seorang penulis buku politik berkata, gesaan yang berulang kali dilakukan oleh Anwar itu hanya membuang masa tanpa memberikan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
“Gesaan seperti itu, biar seribu kali lagi pun dilakukan, ia tidak akan berjaya dan hanya kerja buang masa kerana tiada mana-mana orang sedia berbuat demikian.
“Seperti seseorang yang diperkatakan ramai kononnya didakwa melakukan sesuatu kesalahan, tidak mungkin mereka sedia mengakuinya secara sukarela.
“Mereka hanya akan mengaku jika ditunjukkan bukti-bukti yang tidak mampu dielak lagi dan selepas itu barulah boleh dibawa ke muka pengadilan. Katanya.
Tambah beliau, dalam kes kekayaan anak-anak Tun Mahathir, apa yang perlu kerajaan lakukan adalah dengan dakwa mereka ke mahkamah jika sudah mempunyai cukup bukti.
“Tak perlu bising-bising lagi sama ada di dalam dan luar negara kerana Anwar kini adalah individu paling berkuasa di negara ini.
Shahbudin turut mempersoalkan gesaan Anwar apabila kedua-dua anak Mahathir telah pun membuat pengisytiharan kepada SPRM dan Ketua SPRM berpuas hati dengan siasatan tersebut.
“Lagi pula, bukankah dua anak Tun Mahathir iaitu Mirzan dan Mokhzani telah pun selesai melakukan pengisytiharan harta kepada SPRM pada awal tahun ini?
“Kedua-duanya mengisytiharkan harta bagi membantu siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pada 21 Januari lalu dipetik sebagai berkata, kedua-dua mereka telah selesai membuat pengisytiharan harta termasuk pegangan aset, saham dan sebagainya selepas notis dikeluarkan oleh SPRM.
“Azam seterusnya berkata, beliau berpuas hati dengan pengisytiharan kedua-dua anak Tun Mahathir itu. Ujarnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.