
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyifatkan skim subsidi petrol BUDI95 yang bakal bermula 30 September ini sebagai “setitik air dalam lautan” dan tidak memberi makna besar kepada rakyat.
Presidennya, Dato’ Dr. Ibrahim Ali, berkata penjimatan enam sen seliter atau sekitar RM18 sebulan terlalu kecil jika dibandingkan dengan kenaikan kos sara hidup termasuk harga ikan, telur, dan makanan asas lain.
“Penunggang motosikal hanya jimat RM1.20 sebulan, tidak cukup pun membeli sebiji telur, manakala pengguna pengangkutan awam langsung tidak menerima manfaat. Katanya dalam satu kenyataan.
PUTRA juga membandingkan penjimatan petrol dengan kenaikan harga telur selepas kerajaan menarik balik subsidi pada 1 Ogos lalu. Menurutnya, pengguna 60 liter petrol sebulan hanya jimat 12 sen sehari, tetapi rugi 16 sen sehari akibat kenaikan harga dua biji telur.
Ibrahim mendakwa, skim BUDI95 membuka ruang ketirisan termasuk penggunaan MyKad palsu atau dipinjam, slip berganda di stesen minyak, penyeludupan rentas sempadan, serta penyalahgunaan akaun e-hailing. Malah, katanya, risiko kebocoran data rakyat dan keciciran warga luar bandar serta warga emas juga perlu diberi perhatian.
Sehubungan itu, PUTRA menuntut kerajaan mewajibkan pengesahan MyKad masa nyata di pam minyak, menghadkan 50 liter setiap isian, mengaudit akaun e-hailing, serta memadankan nombor plat dengan MyKad di stesen berisiko.
Parti itu turut mendesak kawalan sempadan diperketat dan kaunter mudah alih MyKad disediakan bagi memastikan rakyat tidak tercicir.
“Tanpa kawalan ketat, BUDI95 hanya akan bocor kepada sindiket, operator tamak, dan pasaran gelap. Subsidi rakyat mesti kekal untuk rakyat,” tegas Ibrahim dalam kenyataannya.
Beliau mendakwa dasar rasionalisasi kerajaan Madani bukanlah langkah ikhlas, sebaliknya helah menyeleweng hak rakyat.
“Jika kerajaan terus leka, BUDI95 akan bertukar menjadi Projek “KencingBUDI”, satu lagi kegagalan dasar Madani,” katanya sambil menegaskan PUTRA kekal menuntut agar subsidi penuh dikembalikan sebagaimana sebelum ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.