
KUALA LUMPUR, 16 Ogos 25 — Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak boleh sekadar menjadi angan-angan atau janji manis di atas kertas, sebaliknya rancangan terperinci dan terancang perlu dibentangkan kepada rakyat, kata Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim katanya perlu membentangkan jadual pelaksanaan RMK13 agar rakyat dapat memahami dengan jelas bila sesuatu rancangan akan dilaksanakan dan bukan sekadar membentangkan data umum secara kabur dan seolah-olah melepaskan batuk di tangga.
“Sebagai pelan pembangunan jangka panjang, ia juga perlu disertakan dengan sasaran konkrit jangka pendek yang boleh dicapai, membentuk corak kemajuan secara berperingkat dan tersusun.
“Sebarang pelan pembangunan memerlukan kerajaan bukan sahaja memiliki keupayaan merangka strategi pembangunan jangka panjang, malah keupayaan cemerlang untuk melaksanakannya,” kata Dominic dalam satu kenyataan.
Jelasnya, hanya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, yang dilihat telah membentangkan dasar sejajar dengan pelan ini.
“Kebanyakan menteri lain masih berada di tahap retorik dan belum menunjukkan tindakan proaktif,” katanya.
Beliau berkata, RMK13 adalah pelan pembangunan jangka pertengahan yang berkaitan rapat dengan masa depan negara.
“Adakah kerajaan Madani telah meneliti masalah-masalah dalam rancangan Malaysia terdahulu semasa merangka pelan ini? Projek mana yang gagal dilaksanakan? Mengapa ia tidak dapat direalisasikan?
“Kini, kerajaan tiba-tiba mengemukakan pelbagai rancangan yang kelihatan besar, namun dikhuatiri sekadar indah khabar daripada rupa,” kata Dominic.
Jelasnya, sebarang pelan pembangunan negara memerlukan kerangka kerja yang sistematik dan berstruktur.
“Selepas itu, hala tuju, sasaran dan tempoh pelaksanaan bagi setiap projek perlu ditetapkan, disemak secara berkala, serta digerakkan secara konsisten supaya ia dapat direalisasikan mengikut jadual,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.