
KUALA LUMPUR, 22 Ogos 25 — Kumpulan gabungan NGO-NGO Islam menggesa pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) menilai semula projek penjenamaan semula badan pengurusan ibadah haji itu.
Dalam satu kenyataan bersama, NGO berkenaan mengharapkan TH mempertimbangkan untuk projek disalurkan kepada syarikat milik bumiputera dan beragama Islam.
“Isu ini adalah tentang integriti, amanah, dan masa depan ekonomi ummah. Ia adalah ujian besar bagi TH dan kerajaan untuk membuktikan komitmen sebenar mereka terhadap prinsip-prinsip Islam yang mengutamakan keadilan, pemeliharaan harta, dan kemaslahatan umat,” kata kenyataan bersama itu.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Presiden Perkasa Syed Hassan Syed Ali; Pengerusi Ummah Mohd. Zai Mustapa; Presiden Negarawati Bibi Sunita Sakandar Khan dan Pengerusi Bertindak, Zainol Talib.
“Projek ini dikaji semula dengan memberi keutamaan kepada syarikat bumiputera Muslim yang berkelayakan.
“Mekanisme pembuatan keputusan TH dibuat lebih telus dan ‘accountable’ dan kerajaan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan semua institusi di bawahnya, khususnya TH menjadi peneraju dan pelindung kepada agenda ekonomi ummah,” katanya.
“Jangan biarkan wang umat Islam digunakan untuk memakmurkan pihak lain, sedangkan anak-anak umat Islam sendiri yang berkemahiran masih tercicir dan menanti peluang,” tambahnya.
Usaha penjenamaan semula oleh Tabung Haji mencetuskan polemik dalam ketegangan susulan dakwaan bahawa syarikat bukan Islam telah dilantik untuk mengendalikan usaha tersebut.
Perikatan Nasional (PN) membangkitkan isu dan namun pada dasarnya, PN tidak mempersoalkan keperluan penjenamaan semula Tabung Haji (TH) sebaliknya menegaskan syarikat yang diberi keutamaan untuk tugas berkenaan harus faham prinsip Rukun Islam ke-5 itu.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihak yang tidak pernah melaksanakan ibadah itu sudah pasti tidak memahami prinsip rukun Islam tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.