
KUALA LUMPUR, 22 Ogos 25 – Parti tempatan Sabah tidak berupaya menyelesaikan isu infrastruktur asas negeri yang berlarutan sejak sekian lama, kata Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Ahli Parlimen Beluran itu berkata, gabungan hibrid antara parti tempatan dan nasional diperlukan dalam pentadbiran kerajaan negeri bagi menyelesaikan itu itu.
Memetik laporan Malaysiakini, Kiandee berkata, Sabah sepatutnya ditadbir oleh parti nasional melalui model “hibrid” yang bermula ketika pengambilalihan BN pada 1994, dengan menyatakan kerajaan-kerajaan terdahulu di Sabah lebih berjaya menangani isu berkaitan air, elektrik dan jalan raya.
“Ini menunjukkan masalah negeri tidak diurus dengan baik oleh kerajaan sedia ada. Jadi apa kebanggaan parti tempatan jika masalah asas — masalah legasi — tidak dapat diurus dengan betul?” katanya.
Kiandee berkata, cabaran pentadbiran di Sabah harus dianggap sebagai isu nasional yang memerlukan penglibatan kerajaan Persekutuan.
“Sabah mesti diurus oleh pemimpin yang berwibawa, tahu bagaimana menyelesaikan masalah, dan masalah ini mesti diangkat sebagai isu nasional yang memerlukan penglibatan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, sepanjang sejarah panjang Sabah, tiada parti tempatan yang berjaya mentadbir negeri itu sejak era Parti Bersatu Sabah (PBS).
“Sejak 1994 hingga sekarang, tidak pernah ada parti tempatan sepenuhnya mentadbir Sabah. Ia sentiasa dalam bentuk hibrid — parti tempatan digabung dengan parti nasional.
“Parti tempatan terakhir yang memerintah Sabah ialah PBS. Selepas itu, tiada lagi,” katanya.
Namun, slogan seperti “Sabah untuk Sabahans” katanya sememangnya melambangkan semangat perjuangan, namun ia tidak wajar dimonopoli parti tempatan. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.