
KUALA LUMPUR, 2 Mei 25 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif pemberian Kad Pekerja MADANI kepada satu juta ahli kesatuan pekerja untuk menerima akses diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan.
Pengumuman itu dibuat ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, lapor Berita Harian.
“Kad Pekerja MADANI untuk memberikan ruang kepada ahli kesatuan yang ada kad pekerja ini, diberi diskaun dalam kemudahan itu,” katanya.
Kad Pekerja MADANI adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) sebagai medium penyampaian faedah bersasar melalui pendekatan kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta.
Ia bertujuan membantu mangurangkan kos sara hidup warga pekerja, khususnya ahli kesatuan sekerja, menerusi pemberian diskaun dan faedah khas.
Selain itu, untuk meningkatkan daya tarikan keahlian kesatuan sekerja melalui penawaran insentif dan kemudahan yang relevan kepada golongan pekerja disamping menggalakkan pembabitan sektor swasta dalam agenda kebajikan pekerja nasional menerusi pendekatan menang-menang.
Kad itu juga satu inisiatif mengukuhkan jaringan keselamatan sosial pekerja melalui sokongan langsung terhadap akses kehidupan harian secara lebih sistematik dan mampan.
Pekerja yang ingin mendaftar serta mahu mendapatkan manfaat kemudahan yang disediakan, boleh layari https://kadpekerjamadani.mohr.gov.my/member/register. @sumber