
KUALA LUMPUR, 27 Ogos 25 – Ketua Pembangkang Negeri Melaka, YB Dr Mohd Yadzil bin Yaakub, menggesa Kerajaan Negeri menyatakan pendirian rasmi berhubung Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA) yang dijangka dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.
Beliau berkata, walaupun akta itu disasarkan untuk membangunkan semula kawasan bandar lama, ia berisiko menceroboh hak milik rakyat terutama golongan B40 dan M40 yang tinggal di kawasan tradisi sekitar bandar Melaka seperti Bukit Cina, Kampung Jawa, Kampung Morten dan kawasan warisan lain.
“Sekiranya URA dilaksanakan secara membuta tuli tanpa garis panduan khas, warisan budaya akan terhapus, penduduk asal digantikan, manakala pemaju pula akan mendapat manfaat lebih besar daripada pemilik sebenar tanah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau dalam kenyataan juga menuntut kerajaan Negeri menyatakan pendirian sama ada menyokong URA dalam bentuk asal atau sebaliknya, serta menjelaskan langkah perlindungan hak pemilik tanah dan penduduk tempatan.
“Membentangkan kertas dasar khusus mengenai URA di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan datang.
“Mengadakan libat urus awam melibatkan pemilik rumah, NGO, arkitek warisan, peguam dan pihak berkepentingan dan menghentikan rundingan awal dengan pemaju sehingga jaminan undang-undang terhadap hak pemilik sedia ada dipastikan. Ujarnya.
Dr Mohd Yadzil turut menegaskan, rakyat Melaka mesti diberi ruang menyuarakan pandangan kerana sebahagian besar kawasan bandar negeri ini terletak di bawah tapak warisan dunia atau bernilai sejarah tinggi.
Katanya, jika kerajaan negeri terus berdiam diri, pembangkang tidak akan teragak-agak membawa usul khas di sidang DUN Melaka bagi menuntut penjelasan penuh.
Rang Undang-Undang URA diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai kerangka undang-undang untuk mempercepatkan projek pembangunan semula kawasan bandar lama dan usang. Ia bertujuan menarik pelaburan swasta serta memberi ruang kepada pihak berkuasa tempatan merancang pembangunan bandar lebih sistematik.
Namun, beberapa pelbagai pihak terus menyatakan bantahan terhadap RUU tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.