
KUALA LUMPUR, 27 Ogos 25 – Gerakan Ekonomi Malaysia menyifatkan cadangan kerajaan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape sebagai satu kesilapan besar yang bakal memberi kesan buruk kepada kesihatan awam, ekonomi negara serta merencatkan aspirasi keusahawanan Bumiputera.
Presidennya, Dr Armin Baniaz Pahamin, berkata larangan mutlak bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah, malah berisiko mendorong perokok kembali kepada rokok konvensional serta membuka ruang lebih luas kepada pasaran gelap.
“Data menunjukkan 75 peratus pengguna vape di Malaysia adalah bekas perokok atau pengguna berganda. Jika vape diharamkan, ramai akan kembali kepada rokok yang jauh lebih berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, langkah pengharaman juga bakal menjejaskan industri bernilai RM4 bilion setahun yang menyediakan ribuan peluang pekerjaan dan menjadi platform perniagaan mudah akses kepada usahawan muda, khususnya Bumiputera.
“Jika pengharaman dilaksanakan, ribuan usahawan kecil akan kehilangan punca pendapatan dan berisiko terjebak dengan pasaran gelap. Ini akan menghakis pemilikan ekonomi Bumiputera dalam jangka panjang,” tegasnya.
Sebaliknya, Dr Armin mencadangkan kerajaan melaksanakan kawal selia ketat melalui pelesenan wajib, penetapan piawaian produk, had nikotin maksimum, serta pelabelan lebih ketat. Beliau turut mencadangkan penubuhan Majlis Dasar Vape Kebangsaan yang melibatkan kementerian, agensi keusahawanan, pakar kesihatan dan wakil industri bagi merangka dasar lebih seimbang.
“Pengharaman bukanlah penyelesaian. Malaysia perlukan dasar kawal selia yang realistik untuk melindungi kesihatan awam, menjana hasil negara dan mengekalkan penyertaan aktif usahawan Bumiputera,” katanya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa KKM mensasarkan untuk membentang memorandum penuh mengenai cadangan pengharaman vape kepada Jemaah Menteri sebelum hujung tahun ini. Laporan awal telah pun dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet manakala jawatankuasa pakar KKM sedang menyiapkan laporan terperinci untuk pertimbangan lanjut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.